Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Keramaian Tahun Baru 2022 dibatalkan apabila Covid-19 masih menghantui dunia

Dec 31, 2021 | 05:36 PM



PARIS: Apabila jutaan kes jangkitan Covid-19 dilaporkan serata dunia dengan peningkatannya berpunca daripada varian Omicron yang bertambah, ia bagai memberi isyarat perlunya langkah lebih berhati-hati dalam meraikan Tahun Baru 2022 secara beramai-ramai.



Koronavirus yang mula dikesan dua tahun lalu menyebabkan dunia mengisytiharkan pandemik global pada Mac 2020. Wabak yang membunuh lebih 5.4 juta orang, menyebabkan krisis ekonomi berlaku dengan orang ramai menyesuaikan diri pada keadaan yang berubah-ubah apabila perintah berkurung diperkenalkan, dilonggarkan dan diadakan semula.



Varian terkini, Omicron, yang buat masa ini dianggap menyebabkan penyakit yang lebih ringan, telah mempertingkat tahap jangkitan pada peringkat yang disifatkan sebagai rekod dalam beberapa hari ini di Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan negara Eropah lain lantas mendesak pemerintah untuk sekali lagi mengenakan sekatan.



Jumlah kes Covid-19 harian di merata dunia melepasi sejuta buat kali pertama, jelas agensi berita AFP dalam kiraan penuhnya pada Khamis, dengan lebih 7.3 juta kes dilaporkan pada tujuh hari lalu.



Dari Greece ke Mexico, dari Barcelona ke Bali dan merentasi Eropah, pihak berkuasa telah membatalkan atau mengekang perhimpunan awam sama ada dengan menutup atau meletakkan batasan waktu pada kelab malam.



Hanya Afrika Selatan, negara pertama yang melaporkan varian Omicron melanggar trend ini. Ia mengangkat kekangan tengah malam hingga 4 pagi yang dikenakan pada kelab malam untuk membenarkan sambutan Tahun Baru diteruskan selepas pegawai kesihatan berkata kemerosotan jangkitan pada minggu sudah menunjukkan bahawa puncak gelombang terkini jangkitan sudah berlalu pergi.



Di Perancis, penggunaan pelitup di luar akan diwajibkan bagi semua orang yang berusia 11 tahun ke atas ketika berjalan di jalanan Paris pada Jumaat. Kelab malam ditutup hingga melepasi Januari.



Di Sepanyol, pesta awam dibatalkan di kebanyakan rantau ini dan di kota terbesar kecuali Madrid, di mana perhimpunan berskala lebih kecil dijadualkan diadakan dengan sekitar 7,000 orang berbanding kebiasaan 18,000 orang pada 2019.



Khidmat Kesihatan Nasional (NHS) Britain berkata ia akan membuka hospital lapangan sementara bagi menampung kemungkinan bertambahnya pesakit di England dengan kerajaan Britain mula mengekang pesta Tahun Baru di situ.



Melihat pada tahap jangkitan Covid-19 yang tinggi dan bertambahnya kemasukan pesakit di hospital, NHS kini bagaikan berperang, jelas Pengarah Perubatan Nasional, Stephen Powis.



Mexico City telah membatalkan sambutan Tahun Barunyua sebagai langkah berjaga-jaga menyusuli peningkatan bilangan kes.



"Saya merasakan ini membuatkan ramai rasa sangsi tentang apa yang kami sangka sudah selamat tetapi ia masih menakutkan dan membimbangkan," kata siswa jurutera, Aaron Ross.



Israel, sementara itu, menjadi salah sebuah negara pertama yang memberi lampu hijau pada suntikan penggalak keempat buat mereka yang luluh imun.



Omicron sudah mula membebani beberapa hospital di Amerika, negara yang paling teruk ditampar Covid-19, di mana kes baru tujuh hari secara purata sudah mencecah 265,427 kes, mengikut sistem penjejak Universiti John Hopkins.



Pakar epidemiologi dan imunologi, Michael Mina, mengirim ciapan Twitter bahawa kiraan kes itu mungkin nampak sebahagian sahaja sedangkan angka sebenarnya mungkin lebih tinggi kerana kekurangan ujian Covid-19.



Pihak berkuasa kesihatan Amerika menasihati orang ramai agar tidak menaiki kapal pesiaran sewaktu tempoh cuti ini walaupun mereka sudah lengkap divaksin.



"Separuh keluarga saya mempunyai Covid-19. Seperti kita kembali pada tahap pertama Covid. Sangat menggila," kata Cik Victoria Sierralta di lapangan ujian di Miami.



Pihak NBA, NFL dan NHL berusaha memastikan pasukan mereka terus bersaing dan liga sukan pula memikirkan cara terbaik menyesuaikan diri dengan protokol melindungi pemain, kakitangan dan peminat sambil tidak mengubah jadual mereka.



Di China, penduduk di kota Xi'an, di mana 13 juta orang berada dalam perintah berkurung, berkata mereka payah mendapatkan makanan secukupnya walaupun Beijing menegaskan bekalannya cukup.



Televisyen negara China menunjukkan keratan video pekerja menggunakan sut hazmat sambil mengasing-asingkan telur, daging dan sayur-sayuran sebelum mengirim makanan kepada penduduk dari rumah ke rumah.



"Saya hidup dengan semangkuk bubur setiap hari hanya untuk terus hidup," kata penduduk bernama Wang kepada AFP.



Russia berkata lebih 71,000 orang meninggal kerana koronavirus di negara ini sekitar November, satu rekod kematian baru sejak permulaan pandemik. - AFP



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >