WASHINGTON: Dokumen kewangan yang dibocorkan secara besar-besaran telah diterbitkan beberapa organisasi berita utama pada Ahad (3 Okt).
Ia mendakwa beberapa pemimpin dunia, termasuk Raja Abdullah dari Jordan, Perdana Menteri Czech, Andrej Babis dan kenalan Presiden Rusia, Vladimir Putin, dikaitkan dengan menyimpan harta mereka secara rahsia.
Dokumen sebanyak 11.9 juta rekod yang berjumlah sekitar 2.94 terabyte data itu dibocorkan lima tahun selepas kebocoran yang dikenali sebagai Kertas Panama, yang telah mendedahkan bagaimana wang disimpan golongan kaya menggunakan cara yang dapat mengelak pengetahuan agensi penguatkuasaan undang-undang.
Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) sebuah rangkaian wartawan dan organisasi media yang berpusat di Washington, mengatakan bahawa fail-fail tersebut dihubungkan dengan kira-kira 35 pemimpin negara kini dan dahulu, dan lebih 330 ahli politik serta pegawai awam di 91 negara dan wilayah.
ICIJ tidak mengatakan bagaimana dokumen-dokumen tersebut diperoleh.
Raja Abdullah, sekutu dekat Amerika Syarikat (AS), didakwa telah menggunakan akaun luar pesisir untuk membelanjakan lebih AS$100 juta ($136 juta) membeli rumah mewah di United Kingdom dan AS.
DLA Piper, pejabat undang-undang London yang mewakili Raja Abdullah, mengatakan bahawa beliau “tidak pernah menyalahgunakan wang awam atau tidak menggunakan apa pun hasil bantuan atau bantuan yang ditujukan untuk kegunaan umum”. - Reuters