Topic followed successfully
Go to BHkuKes baru Covid-19 di M'sia capai angka rekod 8,290
Kes baru Covid-19 di M'sia capai angka rekod 8,290
Lebih 100,000 dos vaksin diberi sehari demi percepat program vaksinasi
Kes baru Covid-19 di M'sia capai angka rekod 8,290
PUTRAJAYA: Malaysia mencatat 8,290 kes baru Covid-19 semalam, meneruskan trend peningkatan jangkitan baru di negara itu.
Ini kali pertama Malaysia mencatat jangkitan harian berjumlah lebih 8,000 kes sejak pandemik Covid-19 bermula lebih setahun lalu.
Ia juga hari keempat berturut-turut negara itu mencatat rekod harian baru, dengan angka semalam melebihi 7,857 kes sehari sebelumnya.
Selasa lalu terdapat 7,289 kes baru - kali pertama kes harian baru melebihi 7,000.
Dalam satu catatan di Twitter, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kumulatif negara itu kini berjumlah 549,514.
Selangor kekal mencatat jumlah tertinggi, iaitu 2,052 kes. Ia diikuti Kelantan (851), Kuala Lumpur (830), Johor (762) dan Sarawak (698).
"Semua negeri mencatat pertambahan kes hari ini (semalam) dan kes terendah dilaporkan di Labuan, iaitu enam kes," katanya di Facebook semalam.
Dr Noor Hisham kelmarin berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian di seluruh Malaysia turun buat lima hari berturut-turut, pada tahap 1.14.
Ia penurunan paling rendah sejak nilai tertinggi tahun ini, iaitu 1.21 pada Ahad lalu.
Menerusi infografik dikongsi di Twitter beliau, Labuan mencatat Rt tertinggi, iaitu 1.87, berbanding Putrajaya (1.20).
Nilai Rt merujuk pada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Sebagai contoh, jika nilai Rt 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang lain.
Sementara itu, Malaysia telah mencatat pemberian dos vaksin Covid-19 harian melepasi 100,000 kelmarin, dalam usaha mempercepat pemberian vaksin itu kepada seramai mungkin rakyatnya. Daripada jumlah itu, 58,084 menerima dos pertama manakala 49,256 menerima dos kedua.
Sehingga tengah malam kelmarin, 2,711,421 dos vaksin sudah diberi, iaitu 1,725,818 dos pertama dan 985,603 dos kedua.
Kuala Lumpur mencatat pemberian dos pertama tertinggi dengan 278,893 dos sudah diberi kepada penerima, diikuti Selangor (233,761).
Bagi dos kedua, Selangor sudah memberi 133,422 dos, diikuti Kuala Lumpur (92,351).
Setakat ini, 11,564,724, atau 47.7 peratus, daripada penduduk layak sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19, dengan jumlah tertinggi di Selangor iaitu 3,092,149.
Dalam satu perkembangan lain, desakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, supaya Parlimen bersidang semula kian mendapat sokongan.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Malaysia kini berdepan krisis dan darurat kesihatan meruncing dalam skala tidak pernah berlaku, selain tidak wujud tanda pemulihan dalam masa terdekat.
Malangnya, Parlimen, yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan disekat daripada bersidang, yang bukan mencemarkan amalan demokrasi sahaja, malah meletakseluruh negara dalam keadaan berisiko, kata beliau.
"Masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan dan ditutup dengan kenyataan muluk-muluk yang dibuat-buat.
"Kerajaan mesti berhenti berdepan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi. Saya percaya semua Ahli Parlimen (AP) dapat memberi komitmen dan saranan baik ke arah membantu pengurusan krisis ini secara bersama dengan pendekatan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kelmarin, Datuk Azalina sekali lagi mendesak Parlimen dibenarkan bersidang dengan segera kerana banyak persoalan dan kebimbangan dikemukakan AP di 'luar tembok' Dewan Rakyat tidak dapat dijawab, selain menggantung Parlimen boleh melumpuhkan demokrasi.
Beliau, yang juga AP Pengerang, berkata tiada cara lain untuk Malaysia bergerak maju dalam keadaan darurat melainkan dengan Parlimen bersidang semula. - BHM, The Star.

