Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes Covid-19 harian turun, Australia buka sempadan jelang Krismas?
Kes Covid-19 harian turun, Australia buka sempadan jelang Krismas?
KADAR vaksinasi di Australia terus meningkat minggu demi minggu sedang kes jangkitan harian Covid-19 pula menunjukkan trend penurunan.
Hasilnya, negara yang terkenal dengan binatang unik kanggaru itu melahirkan harapan untuk membuka sempadan negaranya menjelang Krismas ini - kurang tiga bulan dari sekarang.
Ini sedang negeri paling ramai penduduk di Australia, yang juga teruk terjejas dengan Covid-19 - New South Wales (NSW) - membentangkan peta jalan bagi melonggarkan sekatan pergerakan antara paling ketat di dunia, sedang kadar vaksinasi lebih tinggi membolehkan pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial yang lebih selamat.
Di bawah rancangan pembukaan semula sempadan, warga Australia akan dapat melakukan perjalanan ke luar negara tanpa batasan destinasi, dengan syarat kadar vaksinasi di negeri asal masing-masing mencapai 80 peratus.
Namun, warga Australia tetap perlu patuh pada peraturan negara yang mereka lawati.
Sebahagian besar sempadan Australia kini ditutup kepada bukan warga dan bukan penduduk sejak Mac tahun lalu dalam usaha mengawal kes Covid-19 yang diimport.
Kerajaan Australia juga sedang meneroka cara membuka gelembung perjalanan bersama beberapa negara lain untuk mengurangkan tempoh kuarantin, dan berharap kuarantin di rumah akan beroperasi sebelum Krismas ini.
Bahkan, satu program perintis untuk membenarkan pelajar antarabangsa untuk datang ke NSW sedang dirancangkan.
Pelan itu telah diluluskan kerajaan pusat dengan penerbangan pertama membawa kira-kira 500 pelajar antarabangsa yang telah mendapat vaksin sepenuhnya dijadual tiba di NSW pada akhir tahun ini.
Namun, pelajar dari China dijangka menghadapi masalah kerana pelajar dari negara itu kemungkinan besar mendapat vaksin dari negara itu yang tidak diiktiraf pihak berkuasa kesihatan Australia.
Ketua Menteri NSW, Cik Gladys Berejiklian, berkata pelajar antarabangsa yang mahu menyertai program itu pada masa depan perlu "mencari akses bagi vaksin yang dianggap berkesan oleh pihak berkuasa kami".
"Kami tidak mahu risiko tambahan disertakan dalam sistem kami", ujarnya.
Pendidikan antarabangsa dianggarkan bernilai A$14.6 bilion ($14.4 bilion) di NSW pada 2019, kata kerajaan negeri itu dengan lebih 57,000 pelajar datang dari luar negara.
Sementara itu, ibu kota NSW, Sydney, yang telah menghadapi sekatan pergerakan ketat selama kira-kira 100 hari telah mengumumkan sistem dua peringkat yang akan memberi lebih banyak kebebasan kepada penduduk yang telah diinokulasi sepenuhnya, berbanding mereka yang belum mendapat vaksin.
Sekatan pergerakan di NSW akan ditarik balik secara bertahap antara 11 Oktober dengan 1 Disember ini, sedang kadar vaksinasi dijangka mencapai 70 peratus, dan kemudiannya 90 peratus.
Namun, mereka yang belum divaksinasi sepenuhnya tidak akan dibenarkan menyertai semula aktiviti seperti sukan masyarakat, makan di luar dan membeli-belah, sehingga Disember.
Di negeri jiran Victoria, Ketua Menteri Daniel Andrews enggan memberi janji yang membolehkan penduduk negeri itu mendapat kebebasan sebelum Krismas.
Beliau berkata pihaknya akan terus memantau keadaan penularan Covid-19 dan kadar vaksinasi di negeri itu sebelum membuat keputusan berkaitannya.
Sydney, bersama bandar Melbourne dan ibu kota Australia, Canberra, telah melaksanakan sekatan pergerakan ketat selama beberapa minggu, dengan ketiga-tiga bandar itu menghadapi gelombang jangkitan ketiga Covid-19 yang menjadikan jumlah kes nasional mencapai 100,000.
Satu trend menggalakkan adalah angka harian semakin menurun dalam tempoh beberapa minggu lalu. - SUSUNAN MOHD NOOR A. RAHMAN