Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KORONAVIRUS

Kes jangkitan harian di Korea Selatan kekal tinggi

Dec 27, 2020 | 05:30 AM



 • Australia lanjut sekatan pergerakan di pantai utara Sydney



 • Kadar jangkitan di Indonesia juga terus naik



SEOUL/SYDNEY/JAKARTA: Korea Selatan mencatat jumlah kes koronavirus kedua tertingginya sedang jangkitan di penjara, rumah jagaan warga tua dan gereja terus menular, sekali gus memaksa pihak berkuasa memperkenalkan sekatan kepada semua perayaan akhir tahun.



Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCS) semalam berkata terdapat 1,132 kes kelmarin, tidak jauh daripada 1,241 yang dicatat sehari sebelum itu.



"Virus ini sedang merebak ke mana sahaja, dan bila-bila masa sahaja, tanpa dapat dikawal," tegas Menteri Kesihatan Kwon Deok-cheol dalam sidang antara agensi, sambil menambah ramai pesakit juga dijangkiti setelah menghadiri majlis atau perjumpaan kecil.



"Kita kini di persimpangan gelombang ketiga. Bagaimana kita berusaha mengekang penularannya, dan bagaimana kita berkelakuan pada penghujung tahun ini dan juga pada tahun baru akan menjadi detik penentu," tambah beliau.



Pemerintah Korea Selatan akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini untuk membincangkan sama ada ia akan memperketat peraturan jarak selamat ke tahap paling ketat bagi sebahagian besar daerah Seoul.



Ini bermakna penutupan lagi 1.2 juta kedai dan hanya membenarkan pekerja dalam khidmat-khidmat penting untuk keluar ke pejabat.



Buat masa ini, sekatan telah dikenakan ke atas kelab malam, pusat karaoke dan pusat hiburan lain, selain melarang makan di luar selepas 9 malam.



Perhimpunan lebih daripada empat orang juga telah dilarang selain penutupan semua resort ski dan pusat tarikan pelancong.



Keadaan tersebut merupakan satu tamparan bagi Korea Selatan yang umumnya telah berjaya mengawal penularan Covid-19 menerusi sistem ujian agresif dan jejak kontak.



Kelompok terbesar sekarang ialah di penjara di timur Seoul, di mana 514 banduan dan pekerja penjara telah dijangkiti.



Kadar jangkitan di Korea Selatan kini ialah 54,770 dengan 773 kematian.



Dalam pada itu, pihak berkuasa Australia telah melanjutkan sekatan pergerakan di pantai-pantai Utara Sydney hingga sekurang-kurangnya 30 Disember dan menggesa penduduk bandar itu untuk menjauhi tempat sesak sedang kelompok Covid-19 dan jumlah jangkitan terus meningkat.



Sembilan kes baru dicatat dalam masa sehari, menjadikan saiz kelompok aktif sekarang kepada 116.



Pegawai kesihatan prihatin bahawa virus tersebut berupaya menular ke bahagian lain bandar tersebut dalam musim perayaan ini, justeru penduduk Sydney telah dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan mereka dalam hari, hari, malah minggu, minggu mendatang.



"Masih terdapat keprihatinan bahawa mereka di bahagian utara Sydney akan menjangkiti orang-orang lain.



"Jadi strategi kami ialah untuk menghentikan penularannya di peringkat awal," ujar ketua negeri New South Wales (NSW), Cik Gladys Berejiklian.



Penularan terkini itu merupakan kehampaan besar bagi pihak berkuasa Australia memandangkan negara tersebut telah berjaya mengawal keadaan menerusi langkah-langkah keselamatan ketat termasuk menutup sempadannya.



Di Indonesia pula, kadar jangkitan Covid-19 terus meningkat dengan 258 orang dilaporkan meninggal dunia kelmarin, menjadikan jumlah korban negara itu kepada 20,847.



Jumlah kes juga meningkat 7,259 menjadikan jumlah keseluruhan 700,097.



Indonesia mempunyai jumlah kes koronavirus selain angka kematian akibat virus tersebut yang tertinggi di Asia Tenggara. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >