Kes pertama mutasi berganda India di Malaysia, Berita Dunia - BeritaHarian.sg
Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Dunia0

Kes pertama mutasi berganda India di Malaysia

May 04, 2021 | 05:30 AM

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata mutasi itu dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS), selepas saringan dibuat di pintu masuk utama negara.

Tanpa memperincikan butiran lanjut, beliau berkata, kes mutasi berganda yang difahamkan menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan secara besar-besaran di India ketika ini dikesan menerusi seorang warga republik itu.

"Kita mengesan kes pertama varian India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1 menerusi kemasukan seorang kerakyatan India apabila melakukan saringan di Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia selari dengan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa pada 28 April lalu.

Discover Malay Home Based Businesses

Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini.

Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus Covid-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di republik berkenaan, sekali gus dikhuatiri menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak.

Berdasarkan laporan WGS, membabitkan 59 genom dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi tempoh dari 24 April hingga semalam, Dr Adham berkata beberapa penemuan direkodkan.

"Ini termasuk 30 lagi varian membimbangkan (VOC), iaitu 27 varian Afrika Selatan B.1.351 dan tiga varian United Kingdom, UK B.117, malah kita menemui varian mempunyai kepentingan (VOI), iaitu varian dari India, B.1.617.

"Malangnya, laporan IMR ini mengesahkan kes pertama VOC B.1.351 di Perak dan Kelantan, membabitkan kewujudan kluster dengan 10 kes positif di setiap negeri terbabit.

"Menerusi aktiviti pengesanan, kita juga merekodkan tambahan tujuh kes varian B.1.351 dan dua varian UK B.1.1.7 di Selangor.

"Satu kes varian UK B.1.1.7 turut direkodkan di Sandakan, Sabah, membabitkan seorang warga asing, malah ini kes pertama varian dari UK dalam kalangan individu tanpa sejarah perjalanan ke luar negara dan berkemungkinan ia penularan tempatan.

Setakat ini, Dr Adham berkata 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351 direkodkan, UK B.1.1.7 (8 kes), India B.1.617 (1 kes) dan varian Nigeria B. 1.525 (2 kes).

Selain itu, katanya, IMR mengesan satu kes nasabah C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.

"C.36 dominan di Mesir. Kita juga merekodkan peningkatan secara berperingkat terhadap jumlah VOC, khususnya varian Afrika Selatan B.1.351 dalam kalangan sampel jujukan genom yang diterima di IMR.

"Ini menggambarkan wujud potensi pertukaran VOC Afrika Selatan, B.1.351 daripada nasabah tempatan, B.1.524," katanya.

Sementara itu, peningkatan kes Covid-19 di Kelantan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan membuka hospital medan selain menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata fasiliti di Kelantan sama ada membabitkan peralatan hospital serta PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan kritikal.

Kerajaan Sabah pula berkuatkuasa hari ini memutuskan untuk menyekat kemasukan individu dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka memasuki negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata larangan itu bertujuan bagi mencegah kemasukan varian baharu Covid-19.

Beliau berkata, bagaimanapun pengecualian untuk memasuki Sabah diberikan kepada rakyat negeri itu.

"Mereka perlu mematuhi prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan, selain kru kapal yang mempunyai sejarah perjalanan dari empat negara terbabit dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan menjalankan prosedur 'sign off' di negeri Sabah. - BHM.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map