STRASBOURG (Perancis): Lelaki berusia 29 tahun yang diburu polis bagi kes tembakan di Strasbourg, tinggal di sebuah apartmen kecil di blok perumahan agak buruk dan mempunyai sabitan jenayah di Perancis dan beberapa negara Eropah lain, kata para pegawai.
Lelaki itu, Cherif Chekatt, tinggal di kawasan Poteries di Strasbourg, kira-kira 20 minit perjalanan trem ke barat pusat bandar Perancis dan pasar Krismas tempat serangan itu berlaku.
"Ia bangunan bagi orang terdesak. Tiada siapa mahu tinggal di sana," kata seorang penduduk setempat, Encik Bemba N'diaye, 37 tahun, berhampiran blok konkrit sembilan tingkat itu, di mana nama 'Chekatt' tertera pada salah satu kotak suratnya.
"Orang di situ sangat terasing," kata Encik N'diaye.
Dalam serangan itu, Chekatt dikatakan melepaskan tembakan di pasar Krismas Strasbourg yang popular, yang menarik ribuan pelawat setiap tahun.
Serangan itu membunuh dua orang orang dan mencederakan beberapa yang lain, ada daripada mereka cedera kritikal.
Ratusan polis, askar dan ejen sempadan di kedua-dua belah sempadan Perancis-Jerman sedang memburu Chekatt hingga semalam.
Orang-orang yang tinggal di blok Chekatt berkata dia dikenali di kawasan itu kerana rekod jenayahnya, tetapi dia berprofil rendah, hanya turun untuk minum kopi dan makan roti.
"Keluarganya tinggal di sini seketika, tetapi dia tinggal sendirian tidak jauh dari sini," kata Zach, 22 tahun. "Dia tidak menimbulkan syak, bukan samseng."
Chekatt dijatuhi hukuman 27 kali, kebanyakannya di Perancis, tempat dia dilahirkan, tetapi juga di Jerman, Switzerland dan Luxembourg, yang mudah dilawati dari Strasbourg.
Jenayah yang dilakukannya merangkumi keganasan hingga rompakan, tetapi bukan pengganasan.
Chekatt dimasukkan ke dalam senarai pantauan pelampau ketika dia berada di penjara di Perancis pada 2015 selepas dia "menyeru agar diamalkan bentuk agama yang radikal", kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Laurent Nunez, kelmarin.
Dia diawasi agensi perisikan domestik Perancis, DGSI, yang bertugas memantau sejumlah besar suspek ekstremis di Perancis.
Seramai 25,000 orang kini berada dalam senarai pantauan 'S', dengan 9,700 daripada mereka kerana radikalisme "yang dikaitkan terutamanya dengan pergerakan pengganasan", menurut kementerian dalam negeri.
Menteri Dalam Negeri, Encik Christophe Castaner, memberitahu anggota Parlimen Perancis kelmarin:
"Sejak umur 10 tahun, tingkah lakunya sudah bersifat jenayah. Dia dikenakan hukuman pertama pada usia 13 tahun."
Polis cuba menahan Chekatt pada Selasa pagi lalu berkaitan siasatan satu kes percubaan bunuh, tetapi dia tidak berada di rumah, Encik Nunez memberitahu radio Perancis Inter kelmarin.
Bom tangan, empat pisau dan senapang ditemui ketika polis memeriksa apartmennya, kata pendakwa.
"Kemudian, dia muncul... di tengah-tengah Strasbourg dan pasar Krismas itu," kata Encik Castaner kepada Parlimen Perancis.
Pihak berkuasa Jerman sedang mencari Chekatt "sepanjang sungai Rhine", yang menjadi sempadan antara Perancis dengan Jerman, kata jurucakap wilayah Baden-Wuerttemberg.
"Tetapi buat masa ini kami tidak percaya bahawa dia telah melintas masuki ke negara ini," katanya.
Profil Chekatt ialah "potret gabungan biasa ekstremis hari ini," kata Cik Anne Giudicelli, pengarah firma perunding Terrorisc.
"Dia mempunyai semua ciri ekstremis yang dilihat sebelum ini." - AFP.