Topic followed successfully
Go to BHkuKesatuan Eropah saman AstraZeneca
Kesatuan Eropah saman AstraZeneca
Susuli pelanggaran kontrak penghantaran vaksin Covid-19 yang jejas usaha pengagihan ke seluruh rantau
Kesatuan Eropah saman AstraZeneca
BRUSSELS: Kesatuan Eropah berkata ia telah memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat farmasi gergasi AstraZeneca atas isu penghantaran vaksin Covid-19 yang menjejas usaha mengagihkan vaksin itu kepada seluruh rantau itu.
"Suruhanjaya telah memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat AstraZeneca Jumaat lalu kerana melanggar persetujuan pembelian lanjut," menurut jurucakap EU Stefan De Keersmaecker.
"Beberapa syarat dalam kontrak tidak dipatuhi dan syarikat itu tidak dapat memberikan strategi yang boleh dipercayai bagi memastikan penghantaran dos tepat pada masanya."
Menurut Encik De Keersmaecker, tindakan tersebut dimulakan eksekutif EU "mewakili 27 negara yang sama-sama menyokong prosedur ini".
"Apa yang penting bagi kami dalam kes ini adalah kami ingin memastikan penghantaran dos cukup dengan cepat yang layak diterima warga Eropah dan ini telah dijanjikan berdasarkan kontrak tersebut," katanya,
Syarikat AstraZeneca menafikan tindakan undang-undang itu "tanpa merit" dan menekankan bahawa mereka "sambut baik sebarang peluang untuk menyelesaikan pertikaian ini secepat mungkin."
"AstraZeneca telah mematuhi Persetujuan Pembelian Lanjut dengan Suruhanjaya Eropah dan akan mempertahankan diri dengan kukuh di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya dan syarikat tersebut terlibat dalam pertikaian yang disebabkan isu penghantaran vaksin yang lambat yang menjejas usaha untuk mengedar vaksin itu.
Menurut AstraZeneca, ia akan menghantarkan lebih 50 juta dos vaksin itu ke Eropah akhir April, namun ini kurang berbanding jumlah yang sepatutnya dihantarkan menurut Brussels.
Suruhanjaya itu berkata secara keseluruhan syarikat itu hanya menghantarkan sepertiga jumlah yang dijanjikan pada Jun.
Bos AstraZeneca asal Perancis-Australia, Encik Pascal Soriot berkata kontrak syarikatnya dengan EU hanya tertakluk pada klausa "usaha terbaik yang munasabah".
Namun, suruhanjaya itu berkata kontrak tersebut menunjukkan tanggungjawab undang-undang yang lebih besar, dan anggota diplomat serta pembuat undang-undang EU berkata syarikat itu telah menghantarkan dos yang dijanjikan kepada Britain, di mana terletak ibu pejabatnya.
Suruhanjaya itu- yang telah bertanggungjawab untuk mendapatkan vaksin bagi semua negara anggota EU- memberitahu minggu lalu mengenai rencananya untuk menghadapkan syarikat itu ke mahkamah dan meminta sokongan dari pemerintah nasional.
Pada mulanya, EU berhasrat menggunakan vaksin AstraZeneca sebagai vaksin utama bagi inokulasi negara anggota EU- namun kini ia beralih kepada vaksin BioNTech/Pfizer yang lebih mahal.
Pfizer dijangka menghantarkan 250 juta dos ke EU pada suku kedua tahun ini sedang 27 negara itu menyasarkan untuk memberikan vaksin tersebut kepada 70 peratus warga dewasanya pada Julai.
EU juga mengharapkan penghantaran yang meningkat- termasuk dari Moderna dan Johnson & Johnson- dapat membantunya menjalankan inokulasi pada kadar yang dilakukan di Amerika Syarikat dan Britain.
Keyakinan orang ramai terhadap vaksin AstraZeneca juga terjejas dek kebimbangan yang timbul mengenai kaitannya dengan pemebekuan darah di otak.
Beberapa negara anggota telah menghadkan penggunaan vaksin itu bagi warga tua walaupun agensi perubatan menegaskan bahawa manfaat vaksin itu melebihi risikonya. - Agensi berita

