Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL

Ketegangan terus meruncing

May 15, 2021 | 05:30 AM



GAZA: Lebih 100 rakyat Palestin, termasuk 27 kanak-kanak telah terkorban manakala sekurang-kurangnya 580 yang lain cedera akibat serangan udara tentera rejim Israel di Gaza, menurut kementerian kesihatan Palestin, pagi semalam.



Serangan Israel yang masuk hari kelima semalam ketika masyarakat Islam sedunia meraikan Hari Raya Aidilfitri, dianggap pemerintah Palestin sebagai "yang terburuk pernah disaksikan sejak 2008".



"Satu malam dari neraka di Gaza. Malah lebih buruk!! Tiada yang serupa pernah disaksikan di Gaza sebelum ini! Malah tidak serupa kelangsangan Israel pada 2008, 2012 dan 2014!! Lebih 100 serangan udara dilaporkan dalam masa kurang dari 15 minit!!," menurut catatan Pusat Maklumat Palestin di Facebook pada 8 pagi semalam.



Hari ini, rakyat Palestin mengingati peristiwa 'Nakba' (Bencana) selepas Britain menamatkan mandat pemerintahannya di Palestin pada 1948, yang membawa kepada pembentukan negara Israel.



Antara 1947 hingga 1949 seramai 750,000 dari seramai 1.9 juta rakyat Palestin menjadi pelarian apabila Israel menduduki 78 peratus negara Palestin.



Dua jam kemudian, pusat maklumat itu mendedahkan, rejim Israel telah menempatkan lebih ramai soldadu dan kereta kebal berhampiran Gaza dan telah meluluskan pengerahan lagi 9,000 askar kerahan.



Sebelum ini, ia mengecam tindakan ganas Israel yang melakukan serangan besar-besaran.



"Apakah ini "bank sasaran" Israel? Apakah ini (tindakan) "mempertahankan diri"? Membunuh kanak-kanak? Menanam mereka hidup-hidup di bawah runtuhan rumah mereka yang telah dibom?," persoal pusat maklumat itu lagi dalam satu catatan berasingan pada 3 pagi semalam dengan memaparkan gambar para anggota perubatan kecemasan dan pasukan penyelamat mencari mangsa yang tertimbus di bawah kepingan konkrit bangunan yang berkecai.



Sebagai membalas serangan ganas Israel, pergerakan Hamas kelmarin menghujani roket di kawasan Tel Aviv dan bandar Ashdod, Ashkelon serta Sderot.



Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam pada itu telah mengongsi di Facebook mereka pada 11.15 pagi semalam, waktu Singapura - alasan serangan besar-besaran ke atas Gaza dilakukan.



Menurutnya, susulan keganasan yang berlaku di timur Baitulmakdis dan di kawasan Haram al-Sharif yang disebutnya sebagai 'Temple Mount' yang menempatkan Kubah As-Sakhra dan Masjid Al-Aqsa pada minggu lalu, 'pertubuhan ganas' Palestin telah melancarkan roket dari Gaza ke Israel.



"Hamas dan Islamic Jihad telah melancarkan lebih 1,700 roket ke arah Israel. Roket-roket ini telah membunuh tujuh warga Israel dan mencederakan lebih 523 orang dan mengena sebuah sekolah, hospital, bas dan beberapa rumah.



"Sebagai tindak balas, IDF telah menyerang 650 sasaran di Gaza, termasuk tapak pelancaran roket, 100 terowong serangan dan membunuh lebih 100 anggota Hamas dan Islamic Jihad," kata IDF.



IDF menerangkan jumlah korban lebih tinggi bagi pihak Palestin disebabkan daripada lebih 1,750 roket yang dilancarkan, 300 telah tersalah lancar dan meledak di dalam kawasan Gaza, sekaligus membunuh dan mencederakan warga Palestin dalam kawasan itu.



"Ini adalah kerana Hamas dan Islamic Jihad dengan sengaja menempatkan tapak pelancaran roket dan tapak tentera di kawasan padat penduduk di Jaluran Gaza...



"Di Israel, IDF melakukan segala yang boleh untuk melindungi rakyat Israel dan Sistem Pertahanan Udara Iron Dome telah berjaya menangkis lebih 90 peratus roket yang dilancarkan ke Israel," dakwanya.



Presiden Israel, Encik Benjamin Netanyahu, kelmarin menyatakan pegawai pemerintah tentera Kota Gaza dan 15 anggotanya telah terbunuh dalam serangan udara.



IDF mengesahkannya dan menyenaraikan enam pemimpin kanan Hamas dan Islamic Jihad itu - Bassam Issa (ketua pemerintah briged Kota Gaza); Khazem Khatib (ketua penyelidik dan pembangunan, Jabatan Penghasilan Hamas); Juma Tahla (pegawai penyelidik kanan Hamas yang punya pengetahuan mendalam tentang roket dari darat ke darat); Wail Issa (ketua jabatan pengintipan Jabatan Risikan Tentera Hamas); Hassan Kaogi (ketua jabatan risikan keselamatan Hamas); dan, Samech Mamluch (ketua unit roket Islamic Jihad).



IDF juga mengesahkan anggota tenteranya yang pertama terbunuh - Staf Sarjan Omer Tabib, 21 tahun - akibat peluru berpandu antikereta kebal di sempadan Gaza.



Pergerakan Hamas dalam kenyataan yang dipetik Reuters kelmarin, mengesahkan kematian para pemimpinnya, dengan ketua pergerakan, Encik Ismail Haniyeh, berkata: "Konfrontasi dengan musuh ini terbuka dan tiada pengakhiran."



Israel pula berikrar untuk terus memusnahkan Hamas.



"Gencatan senjata bukan sebahagian istilah di bibir kami, tentunya bukan dalam sehari dua ini," kata jurucakap tentera Brigadier-Jenderal Hidai Zilberman yang dipetik penyiar, Kan.



Dalam pada itu, Presiden Palestin dan Penguasa, Encik Mahmoud Abbas, telah mengarahkan pentadbirannya untuk membantu penduduk Gaza, dan berikrar "melakukan segala yang boleh" bagi mempertahankan rakyat Palestin.



Sementara itu, awal sebelum ini, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura telah menzahirkan keprihatinan mengenai keganasan di Baitulmakdis dan menggesa semua pihak agar bertenang.



"Kami benar-benar menggesa semua pihak supaya tidak bertindak ganas dan menghentikan semua keganasan. Semua pihak mesti menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan lagi ketegangan," kata MFA.




Maliki: Semua pihak harus kurangkan ketegangan



SEMUA pihak yang terlibat dalam keganasan harus berusaha mengurangkan ketegangan dan menghentikan serangan untuk mencegah kehilangan nyawa awam yang berterusan, kata Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman, mengulas mengenai konflik di Gaza dan Israel yang bermula sejak penghujung Ramadan dan kini berlanjutan sehingga Syawal.



Beliau turut melahirkan keprihatinan mengenai konflik di Baitulmakdis, Tebing Barat dan bahagian lain di Israel.



Menurut Dr Maliki, Muslim di Singapura turut prihatin.



"Sementara tempoh Hari Raya biasanya dikaitkan dengan kemenangan dan kegirangan meraikan pencapaian semasa Ramadan, ramai yang berkongsi mereka berasa sukar untuk berbuat demikian memikirkan kesukaran yang penderitaan yang berlaku di kawasan itu," kata Dr Maliki.



"Israel dan Palestin harus kembali berunding untuk mencapai huraian dua negara yang boleh memastikan keselamatan bagi kededua warga Israel dan Palestin yang hidup berjiran.



Menambah, beliau berkata konflik di Timur Tengah itu adalah peringatan bahawa keamanan dan ketenteraman yang dinikmati di Singapura amat berharga dan tidak seharusnya dianggap remeh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >