RAFAH: Keluarga Encik al-Attar sedang bersolat dan menyiapkan anak-anak untuk tidur di selatan Gaza apabila terdengar letupan kuat dan api marak membaham pondok-pondok pelarian Palestin di situ.
Suara kanak-kanak menjerit ketakutan jelas kedengaran di tengah-tengah suasana panik yang tidak dapat lagi dibendung.
Kebakaran yang berlaku akibat serangan udara Israel pada malam 26 Mei itu meranapkan kawasan perkhemahan yang dikhususkan untuk pelarian di daerah Tel Al-Sultan di bandar Rafah.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata 45 orang, kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan warga emas, terbunuh dalam kebakaran tersebut.
Angka kematian terkini itu mencetuskan bantahan pemimpin dunia dengan pihak pendakwa tentera tertinggi Israel menyifatkan serangan udara itu “sangat buruk” dan berkata siasatan sedang dijalankan.
Menyingkap kejadian itu, Cik Umm Mohamed al-Attar, menyatakan para pelarian bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri daripada api yang marak.
“Ruang bilik kami dipenuhi serpihan peluru berpandu atau bom. Jiran saya, seorang wanita yang mempunyai anak-anak kurang upaya terbunuh di pintu biliknya. Apa salah beliau?” tambah Cik Umm.
Beribu-ribu rakyat Palestin telah berlindung di Tel Al-Sultan selepas tentera Israel memulakan serangan darat di timur Rafah sejak dua minggu lalu.
Encik Jamal al-Attar, bapa saudara Cik Umm, berkata: “Gaza terbakar setiap hari dan setiap jam. Mereka (orang Israel) dibakar sekali, tetapi kami dibakar setiap hari. Anak-anak kami, orang tua kami, wanita kami dan rumah kami terbakar setiap hari di Palestin.
“Kami tidak tahu ke mana lagi hendak pergi, hari gelap dan tiada ambulans. Kami melihat mayat tergelimpang di sana sini,” tambahnya.
Mengambil semula barang-barang dari runtuhan khemah sementaranya, Encik Talal Saeed Salman, berkata keluarganya kini perlu berpindah buat kali kelapan sejak perang meletus pada 7 Oktober.
“Ke mana kami hendak pergi? Berapa lama kami akan dihina seperti ini?” katanya.
Mengulas mengenai insiden di Tel Al-Sultan, jurucakap pemerintah Israel berkata pada 27 Mei bahawa serangan udara semalaman terhadap komander Hamas di Rafah menyebabkan kebakaran besar dan mengorbankan jiwa orang awam. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg