JAKARTA: Setelah dirancang dan dibincangkan selama bertahun- tahun, rel kereta api lapangan terbang Jakarta akhirnya dibuka.

Kereta api menghubungkan pusat bandar raya Jakarta ke lapangan terbang utama Soekarno-Hatta, yang terletak lebih 30 kilometer ke barat ibu kota Indonesia itu, bertujuan mengelak kesesakan lalu lintas di kota.

Perkhidmatan baru yang mengambil masa 55 minit itu terbukti menarik perhatian baik di kalangan pelancong mahupun warga setempat.

Separuh daripada penumpang yang menggunakan perkhidmatan kereta api baru itu pada hari Khamis lalu iaitu semasa tempoh percubaan hingga esok berpeluang menguji tempoh perjalanan.

Antara yang mencuba perkhidmatan baru itu ialah pegawai tentera yang telah bersara, Encik Edi Sitorus, 63 tahun, bersama cucu dan mertuanya.

"Ia selesa dan tepat pada waktunya. Tetapi tambang tiketnya mahal," kata Encik Edi kepada The Straits Times.

Beliau membandingkan tambang tiket kereta api 70,000 rupiah ($7) dengan 40,000 rupiah yang dikenakan oleh perkhidmatan bas lapangan terbang.

Perkhidmatan bas membolehkan penumpang mudah memilih untuk turun di banyak tempat di seluruh Jakarta.

"Perjalanan bas memerlukan anda meneruskan perjalanan dengan menaiki teksi," tambah Encik Edi.

Kereta api lapangan terbang yang dipanggil Railink itu mempunyai tandas seperti dalam kapal terbang, kata Encik Reynald, 28 tahun, seorang pelajar kolej dan pekerja sambilan di Hotel Mandarin Jakarta.

"Proses mendapatkan tiket cepat dan lancar. Kami menggunakan salah satu mesin layan diri. Ia sama seperti menggunakan ATM, hanya dengan menggesek kad dan anda membuat pilihan anda di skrin, " kata Encik Reynald.

Di mesin layan diri, penumpang boleh memilih stesen pilihan dengan menekan lokasinya di peta.

Bagaimanapun, buat masa ini, Railink hanya berhenti di lapangan terbang, di stesen Sudirman Baru, dan di dua stesen lain, Duri dan Batu Ceper.

Perkhidmatan ini akan diperluaskan ke stesen Manggarai di Jakarta Selatan pada tahun 2019.

Penumpang juga boleh membeli tiket melalui aplikasi telefon bimbit Railink yang boleh dimuat turun di Android Play Store atau iOS 'App Store.

Bermula pada 2 Januari, Railink akan mempunyai sejumlah 82 perjalanan setiap hari.

Kereta api disambung ke Skytrain yang membawa penumpang ke semua terminal di lapangan terbang.

Awal tahun depan, Presiden Joko Widodo akan melancarkan Railink, sebuah projek yang disokong oleh pentadbiran terdahulu tetapi tidak dilaksanakan.

Bas-bas feeder akan memulakan operasi pada Khamis, menghubungkan stesen Sudirman Baru ke beberapa tempat di bandar, termasuk Gambir, stesen kereta api antara bandar utama di Jakarta. - ST.