Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kongres AS lulus pakej bantuan ekon $2.6 trilion

Mar 12, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat meluluskan pakej bantuan ekonomi Presiden Joe Biden yang besar lewat kelmarin, sekali gus memberi kemenangan yang luar biasa kepada pemimpin itu.



Ini selain suntikan wang tunai yang sangat diperlukan kepada jutaan keluarga dan perniagaan yang mengalami kemuraman ekonomi ekoran wabak koronavirus.



Rancangan Selamatkan Amerika, dengan jumlah AS$1.9 trilion ($2.6 trilion), membiayai vaksin Covid-19 dan memberi wang hingga AS$1,400 kepada kebanyakan penduduk Amerika, mendapat kelulusan Dewan Perwakilan namun tanpa sokongan langsung daripada Republikan, yang menuduh Encik Biden mengabaikan janjinya sempena Hari Pelantikannya, iaitu untuk menyatukan penduduk Amerika.



Dalam satu kenyataan, Encik Biden berkata pakej bantuan pemulihan ekonomi itu dapat memberi pekerja di negara itu 'peluang bertarung' ketika berdepan pandemik Covid-19.



"Ia juga akan menjadi tulang belakang negara ini, terutama kepada petugas barisan hadapan dan pekerja sektor penting, mereka yang membangun negara ini dan yang menjaga negara ini."



Penggubalan rang undang-undang itu adalah pakej rangsangan kedua terbesar dalam sejarah Amerika, selepas Akta Cares, pakej bantuan bernilai AS$2 trilion yang diluluskan pada tahun lalu.



Rumah Putih mengatakan Encik Biden, yang menjadikan pelan itu sebagai perundangan utamanya, merancang menandatangani undang-undang tersebut hari ini, beberapa hari sebelum faedah pengangguran dijadual berakhir buat jutaan penduduk.



Langkah itu memberi AS$400 bilion dari segi pembayaran langsung sebanyak AS$1,400 kepada kebanyakan penduduk Amerika, bantuan AS$350 bilion kepada pemerintah negeri dan tempatan, peluasan kredit cukai anak dan peningkatan dana bagi pengedaran vaksin.



Penganalisis menjangka pelan itu akan meningkatkan pemulihan ekonomi Amerika secara besar-besaran.



Kelulusan dengan undi 220-211 di dewan yang dikuasai Parti Demokrat dibuat tanpa sokongan Parti Republikan setelah berminggu-minggu perdebatan di Kongres.



Pihak Demokrat menyifatkan undang-undang itu sebagai respons penting terhadap wabak yang telah membunuh lebih 528,000 orang dan membuatkan jutaan penduduk kehilangan pekerjaan.



"Ini adalah hari bersejarah. Ia adalah permulaan kepada berakhirnya kelembapan hebat Covid-19," kata Wakil Demokrat Jan Schakowsky.



Parti Republikan pula mengatakan langkah itu terlalu mahal dan penuh dengan pakej progresif yang sia-sia.



Mereka mengatakan fasa terburuk daripada krisis kesihatan awam terbesar dalam tempoh seabad telah pun berlalu dan ekonomi sedang menuju ke arah pemulihan.



"Ini adalah rancangan yang salah pada waktu yang salah dengan banyak alasan yang salah," kata Wakil Republican Jason Smith.



Demokrat ingin membawa rang undang-undang itu ke meja Encik Biden untuk ditandatanganinya sebelum faedah pengangguran persekutuan berakhir pada 14 Mac.



Rang undang-undang rangsangan ekonomi itu agak popular - secara tekal mendapat sokongan tinggi daripada majoriti penduduk negara itu.



Tinjauan pendapat nasional Reuters/Ipsos, yang dilakukan pada 8-9 Mac, menunjukkan 70 peratus rakyat Amerika menyokong rancangan itu, termasuk majoriti Demokrat dan Republikan.



Di kalangan Republikan, lima daripada 10 mengatakan mereka menyokong rancangan itu, sementara sembilan daripada 10 Demokrat menyokongnya.



"Kami fikir ia akan membawa kesan yang besar bagi rakyat Amerika, dari segi ekonomi, politik dan juga kepercayaan mereka terhadap pemerintahan," kata Pemimpin Majoriti Senat, Encik Chuck Schumer, selepas kelulusan rang itu. - AFP, Reuters.




"Kami fikir ia akan membawa kesan yang besar bagi rakyat Amerika, dari segi ekonomi, politik dan juga kepercayaan mereka terhadap pemerintahan."
- Pemimpin Majoriti Senat, Encik Chuck Schumer.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >