GAZA: Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah menghantar konvoi 40 lori membawa 540 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi kempen, ‘Operasi Kesatria Gagah 3’.

Penghantaran itu tatkala rakyat Palestin bakal menyambut Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban di tengah-tengah krisis kemanusiaan kian meruncing akibat perang dan sekatan berterusan Israel.

Menurut laporan agensi berita negara UAE, WAM, bantuan tersebut merangkumi pakaian Aidiladha khusus untuk kanak-kanak Gaza bagi mengurangkan penderitaan mereka menjelang sambutan itu.

Sebanyak 600 palet bantuan dihantar dalam operasi terkini yang mencerminkan iltizam UAE membantu rakyat Palestin, khususnya keluarga dan kanak-kanak yang terkesan akibat perang tersebut.

“Bantuan ini mencerminkan perpaduan UAE bersama rakyat Palestin dalam menghadapi keadaan kemanusiaan yang amat sukar,” lapor WAM.

Kempen, ‘Operasi Kesatria Gagah 3’, diwujudkan selepas perang antara Israel dengan Hamas tercetus pada 7 Oktober 2023.

Selain menyalurkan bantuan bernilai berbilion dirham, UAE turut menubuhkan hospital medan di Gaza serta hospital terapung di Al Arish, Mesir, menggunakan kapal yang diubah suai khas untuk rawatan kecemasan.

Negara Teluk itu juga telah membawa ribuan pesakit Palestin ke UAE untuk menerima rawatan perubatan segera.

Namun, di sebalik bantuan yang tiba, realiti kehidupan rakyat Gaza masih jauh daripada pulih.

Ketika umat Islam dari seluruh dunia mula tiba di Makkah bagi menunaikan ibadah haji, ribuan rakyat Palestin di Gaza sekali lagi terpaksa melupakan impian mereka akibat sekatan Israel dan penutupan lintasan sempadan.

Bagi ramai penduduk Gaza, Aidiladha 2026 bukan sahaja disambut dalam keadaan serba kekurangan, malah penuh kesedihan selepas kehilangan ahli keluarga, rumah dan sumber pendapatan akibat perang.

Seorang penduduk Gaza, Cik Suad Hajjaj, berkata beliau sepatutnya menunaikan haji bersama suami, abang dan kakak iparnya sebelum perang tercetus.

Namun, serangan Israel memusnahkan segala-galanya.

Suaminya terbunuh dalam serangan udara Israel, manakala abangnya hilang tanpa diketahui nasibnya.

Rumah mereka pula musnah sepenuhnya.

“Saya bermimpi untuk tawaf di Kaabah dan berdiri di Arafah, tetapi perang dan penutupan sempadan menghalang kami daripada bergerak seperti umat Islam lain,” katanya.

Kini beliau tinggal bersama anak-anaknya di Stadium Yarmouk di timur Bandar Gaza selepas kehilangan hampir segala-galanya akibat perang.

Menurut Kementerian Wakaf Palestin, ribuan penduduk Gaza gagal menunaikan haji selama tiga tahun berturut-turut akibat sekatan perjalanan yang dikenakan Israel.

Pengarah Haji dan Umrah Kementerian Wakaf Gaza, Encik Rami Abu Staitah, berkata Palestin menerima kuota 6,600 anggota jemaah haji di bawah perjanjian dengan Arab Saudi, dengan Gaza diperuntukkan 2,508 tempat atau 38 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Namun, daripada 2,473 rakyat Gaza yang memenangi cabutan haji sejak 2013 dan menunggu giliran untuk berangkat, hanya sebahagian kecil berjaya menunaikan ibadah tersebut sebelum perang tercetus.

Menurut beliau, 71 individu yang tersenarai itu meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji, sama ada akibat serangan Israel atau sebab semula jadi, manakala lebih 2,400 lagi masih terkandas di Gaza.

“Kegagalan menunaikan haji selama beberapa tahun berturut-turut menjadi tamparan besar kepada umat Islam di Gaza,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu terus berusaha berhubung dengan pelbagai pihak antarabangsa bagi membolehkan penduduk Gaza menunaikan haji apabila keadaan mengizinkan.

Namun, usaha itu terus berdepan halangan selepas Israel menutup lintasan Rafah dan mengehadkan perjalanan awam kecuali bagi sebilangan kecil pesakit di bawah syarat ketat. – Agensi berita.