Korea Selatan sahkan abang tiri pemimpin Korea Utara dibunuh di KL

SEOUL/KUALA LUMPUR: Encik Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dibunuh dengan racun di lapangan terbang Kuala Lumpur pada Isnin (13 Feb), menurut laporan berita Korea Selatan, yang memetik sumber pemerintah.

Laporan itu kemudian disahkan oleh jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan, Encik Jeong Joon Hee, dalam satu  taklimat akhbar pada  Rabu (15 Feb).

Ditanya apakah   pembunuhan Encik Jong Nam   telah disahkan, Encik Jeong berkata: “Ya, saya telah berkata ia telah disahkan.”

Pemerintah Amerika Syarikat  percaya beliau    dibunuh oleh ejen  Korea Utara, sumber-sumber pemerintah Amerika   berkata pada  Selasa.

Dua wanita tidak dikenali, dipercayai ejen Korea Utara, menyerang Encik Jong Nam dengan jarum beracun sebelum melarikan diri dalam teksi, lapor sebuah saluran kabel Korea Selatan, TV Chosun.

Encik Jong Nam sedang menunggu di Terminal 2 lapangan terbang itu untuk menaiki penerbangan ke Macau, menurut polis Malaysia.

Laporan polis menunjukkan seorang lelaki Korea, ditemani seorang pegawai lapangan terbang, mendekati seorang pegawai polis pada kira-kira 9 pagi dan berkata beliau diserang dengan cecair berbahaya oleh dua wanita tidak diketahui.

Polis mengenal pasti lelaki itu sebagai Kim Chol, 46 tahun, dari Pyongyang, berdasarkan pasportnya. Satu kenyataan polis berkata beliau meminta bantuan perubatan di perkhidmatan pelanggan lapangan terbang tetapi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

"Siasatan sedang dijalankan dan permintaan bagi post-mortem telah dibuat, bagi menentukan punca kematian," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Rumah Biru presiden Korea Selatan, dan Kementerian Penyatuan, berkata mereka "tidak mempunyai apa-apa" untuk disahkan mengenai laporan berita itu.

Belum ada pengesahan rasmi apakah Encik Kim Chol ialah Encik Jong Nam.

Encik Jong Nam anak sulung pemimpin Korea Utara, mendiang Kim Jong Il, dan pernah dilatih untuk menggantikan ayahnya.

Bagaimanapun, Encik Jong Nam, 45 tahun dan sering digambarkan memakai topi, dibuang negeri ke Macau selepas ditahan di Tokyo pada 2001 kerana memasuki Jepun menggunakan pasport palsu.

Encik Jong Un, adiknya daripada ibu lain, dinamakan pemimpin baru Korea Utara selepas bapa mereka meninggal dunia pada 2011.

Jika disahkan, kematian Encik Jong Nam akan menjadi pembunuhan berprofil paling tinggi sejak bapa saudaranya, Encik Jang Song Thaek, dibunuh pada Disember 2013. Mereka dikatakan rapat.

Pada Januari 2012, Encik Jong Nam dilaporkan melarikan diri dari Macau kerana bimbang akan keselamatan dirinya sebab rumahnya telah didedahkan kepada ejen Korea Utara dan media.

Akhbar arus perdana Korea Selatan Chosun Ilbo berkata beliau kemudian memilih tinggal di Singapura kerana mudah ke Eropah, tempat anaknya Han Sol sedang belajar. Laporan lain berkata beliau tinggal di Singapura, Malaysia dan Indonesia, dan mempunyai kekasih di Singapura dan Malaysia.

Encik Jong Nam diketahui mempunyai hidup mewah di luar negaranya. Beliau terkenal kerap menginap di hotel lima bintang dan makan di restoran mahal.

Terdapat khabar angin bahawa beliau dilindungi China, yang membimbing beliau untuk ambil alih jika rejim Kim Jong Un runtuh.