PYONGYANG: Korea Utara mengesahkan negara itu bebas koronavirus, kata seorang pegawai kanan kesihatannya, meskipun ramai meraguinya sedang dunia menghadapi hampir 1 juta kes jangkitan.
Negara komunis terpencil itu, telah menutup sempadannya pada Januari lalu selepas virus itu pertama kali dikesan di negara jiran, China, dan mengenakan langkah-langkah pengekangan yang ketat.
Pengarah di Jabatan antiepidemik di Ibu Pejabat Pusat Antiepidemik Kecemasan Korea Utara, Encik Pak Myong Su, menekankan bahawa usaha yang dilakukan telah benar-benar berjaya.
"Tiada seorang pun yang telah dijangkiti dengan koronavirus novel di negara kami sejauh ini," katanya kepada agensi berita AFP.
"Kami telah menjalankan langkah-langkah pengekangan awal dan saintifik seperti pemeriksaan dan kuarantin ke atas semua orang yang memasuki negara kami dan melakukan penyahkuman ke atas semua barangan, selain menutup sempadan dan menghadang laluan udara dan perairan," katanya lagi.
Hampir kesemua negara telah melaporkan tentang penularan kes koronavirus.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam melaporkan bahawa terdapat hampir 1 juta kes yang telah disahkan di seluruh dunia.
Selain China, Korea Selatan juga sedaya upaya menangani penularan virus yang sejauh ini meragut 45,000 nyawa di seluruh dunia.
Pakar menyatakan bahawa Korea Utara begitu terdedah dengan virus tersebut kerana sistem perubatannya lemah, dan mereka yang telah meninggalkan negara itu menuduh Pyongyang menutup hal tentang penularan yang berlaku.
Ketua tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan, Jenderal Robert Abrams, menyatakan bulan lalu bahawa beliau "agak yakin" Korea Utara mempunyai kes positif koronavirus.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump berkata Korea Utara "sedang menghadapi sesuatu" dan menawarkan "kerjasama dalam bidang antiepidemik", dalam surat peribadinya kepada pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un.
Pyongyang - yang menghadapi pelbagai sekatan antarabangsa berkenaan program peluru berpandu balistik dan nuklear - telah memohon bantua berkenaan virus tersebut.
Pada Februari lalu, kementerian luar Russia berkata, ia menyediakan 1,500 alat ujian pengesahan koronavirus atas permintaan Pyongyang disebabkan risiko berulang bagi Covid-19 yang baru. "
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi pengecualian ke atas sekatan bagi kumpulan pemberi bantuan termasuk Doctors without Borders dan UNICEF bagi barangan seperti alat ujian, pelitup, kelengkapan perlindungan dan cecair penghapus kuman.
Tidak dapat dipastikan sekiranya kesemua bekalan itu telah dipindahkan ke Korea Utara, memandangkan tiada pertubuhan menjawab pertanyaan AFP.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membelanjakan $900,000 bagi menyokong usaha membasmi koronavirus di Pyongyang, menurut data yang dipaparkan di laman Penyelarasan Ehwal Kemanusiaan bagi Pejabat PBB (OCHA). - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg