Korea Utara larang rakyat M'sia keluar

SEOUL (Korea Selatan): Pyongyang mengharamkan semua rakyat Malaysia di Korea Utara meninggalkan negara itu, menurut media negeri, Selasa, menyebabkan mereka berpotensi ditahan sebagai 'tahanan' di tengah-tengah ketegangan hubungan diplomatik antara Pyongyang dan Kuala Lumpur.

"Semua warga Malaysia di DPRK dilarang meninggalkan negara ini buat sementara waktu sehingga insiden yang berlaku di Malaysia dapat diselesaikan," menurut pegawai di Korea Central News Agency, memetik Kementerian Luar.

Dalam pada itu, Malaysia pula dilaporkan mengeluarkan arahan serta-merta melarang kakitangan dan pegawai Kedutaan Korea Utara di sini daripada meninggalkan negara ini.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tindakan susulan selepas Pyongyang memutuskan menghalang pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia meninggalkan Korea Utara.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia tidak berhasrat untuk membuat tindakan balas terhadap apa yang dilakukan Pyongyang, namun ia mesej jelas bagi menunjukkan Malaysia juga tegas dalam soal menjaga keselamatan rakyatnya.

"Ini adalah arahan serta merta yang dikeluarkan kepada Jabatan Imigresen. kita tidak berhasrat lakukan tindakan balas terhadap apa yang Korea Utara lakukan kepada kita," katanya pada sidang media ringkas di Parlimen, sebentar tadi.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga belum ke tahap untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Pyongyang.

"Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bawa tindakan dilakukan oleh Korea Utara ini dalam mesyuarat Kabinet," katanya.

Dalam satu perkembangan lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya tiga suspek warga Korea Utara yang terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam masih bersembunyi di Kedutaan Korea Utara, di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya percaya ada tiga suspek di Kedutaan Korea Utara, termasuk kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo.

"Berapa lama lagi mereka hendak bersembunyi di kedutaan itu. Jika suspek enggan menyerah diri dengan baik, PDRM akan guna alternatif lain terhadap mereka.

"Ia akan dibuat mengikut Seksyen 111 Kanun Keseksaan, selain PDRM bersedia mengeluarkan waran tangkap ke atas semua suspek terbabit dan kita juga bersedia untuk menunggu mereka serah diri, biarpun dalam masa lima tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa (IDEC) - Rantau Timur di sini, hari ini.

Mendiang Jong-nam merupakan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dipercayai telah dibunuh menggunakan racun dikenal pasti agen saraf VX ketika mangsa menunggu di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu. - Agensi, mStar Online, BHM