WASHINGTON: Keruntuhan ekonomi akibat penularan wabak koronavirus bukan hanya mengenjotkan pertumbuhan ekonomi China tetapi mengheret sekitar 11 juta orang di Asia Timur ke kancah kemiskinan, demikian amaran Bank Dunia hari ini. Menurutnya, pandemik ini telah menyebabkan "kejutan sedunia yang teramat" yang boleh menghentikan pertumbuhan dan meningkatkan kemiskinan serantau, kata ketua ekonomi untuk Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Encik Aaditya Mattoo. Dalam keadaan terbaik sekalipun katanya, rantau ini akan menyaksikan pertumbuhannya jatuh mendadak, dengan ekonomi China mencatat pertumbuhan perlahan 2.3 peratus berbanding 6.1 peratus pada 2019, demikian menurut laporan ke atas kesan pandemik ke atas rantau ini. Dengan dua perlima penduduk dunia berada di bawah perintah berkurung yang menyebabkan perniagaan terpaksa ditutup dan pengangkutan diperlahankan bagi membendung penularan virus, China, negara di mana wabak itu bermula mungkin terselamat daripada kemeseletan namun akan mengalami penurunan mendadak. Hanya dua bulan lalu, ahli ekonomi Bank Dunia mengunjurkan China akan berkembang sebanyak 5.9 peratus tahun ini, yang akan menjadi prestasi terburuknya sejak 1990. Kini, ekonomi kedua terbesar dunia itu berdepan tinjauan lebih suram, dicerminkan menerusi penguncupan terbesar aktiviti pembuatan pada Fabruari sambil pengeluaran industri merosot buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun. Rantau Asia Timur dan Pasifik, tidak termasuk China, akan menyaksikan pertumbuhan perlahan kepada 1.3 peratus atau menguncup 2.8 peratus dalam senario lebih pesimis, berbanding pertumbuhan 5.8 peratus tahun lalu, kata laporan berkenaan. "Pandemik memberi kesan kepada ekonomi rantau ini, namun kedalaman dan tempoh masa kejutannya amat tidak pasti seperti kebiasaan," kata laporan Bank Dunia. Malah, rantau ini juga berdepan ketidaktentuan daripada konflik perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS). "Pembendungan pandemik akan membolehkan pemulihan, namun risiko tekanan kewangan berpanjangan adalah tinggi, malah melangkaui 2020," Bank Dunia memberikan amaran. "Negara paling terdedah adalah yang amat bergantung kepada perdagangan, pelancongan, komoditi, berhutang tinggi dan bergantung kepada aliran kewangan." -AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg