Subuh
5:42
Syuruk
7:05
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Dunia

Koronavirus: Lima warga Singapura di atas kapal pesiaran yang dikuarantin sihat

Feb 20, 2020 | 05:28 PM

LIMA warga Singapura yang dikuarantin di atas kapal pesiaran Diamond Princess kekal sihat secara fizikal selepas lebih dua minggu, lapor The Straits Times.

Ini sedang dua penumpang Jepun berusia 80-an tahun dilaporkan meninggal dunia akibat koronavirus Covid-19, menurut penyiar NHK pada Khamis (20 Februari).

Mereka meninggal dunia di hospital, di mana mereka dirawat sejak dipindahkan dari kapal itu pada 11 dan 12 Februari, kata NHK.

Kritikan terhadap cara kerajaan Jepun menangani isu itu kian meningkat.

Lebih 600 penumpang telah disahkan positif bagi penyakit Covid-19. Ini menjadikan kapal tersebut, yang berlabuh di perairan Jepun sejak 3 Februari, sebagai kelompok kes terbesar di luar China.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kes-kes di atas Diamond Princess adalah "kes-kes di atas pengangkutan antarabangsa" dan tidak boleh dikira dalam jumlah kes Jepun.

Sekitar 440 penumpang telah dibenarkan turun dari kapal itu pada Rabu sedang operasi kuarantin mula berkurangan.

Diamond Princess tiba di Yokohama sehari lebih awal daripada yang dijadualkan dengan kira-kira 3,700 penumpang dan anak kapal, dan dikuarantin selama dua minggu pada 5 Februari.

10 kes pertama di atas kapal itu disahkan pada hari yang sama.

Mereka yang disahkan positif semasa pemeriksaan oleh pegawai Jepun telah dibawa ke darat untuk menerima rawatan.

Seorang pakar penyakit berjangkit yang meluangkan satu hari di atas kapal itu menyifatkan langkah kawalan jangkitan sebagai "tidak mencukupi", dan berkata kapal itu telah menjadi "kilang Covid-19".

Pihak berkuasa Jepun menegaskan bahawa kebanyakan jangkitan berlaku sebelum kuarantin kapal itu bermula, kecuali yang melibatkan beberapa anak kapal dan anggota keluarga yang tinggal bedekatan.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian