Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Dunia

Koronavirus: Pusat wabak Hubei pecat ketua, pengarah parti suruhanjaya kesihatan wilayah

Feb 11, 2020 | 03:58 PM

BEIJING: Wilayah Hubei di China, pusat wabak koronavirus, telah memecat ketua dan pengarah suruhanjaya kesihatan wilayah Parti Komunis di tengah-tengah kritikan awam yang semakin meluas mengenai cara pihak penguasa mengendalikan wabak ini.

 

Badan antirasuah China berkata ketua suruhanjaya kesihatan Hubei Encik Zhang Jin dan pengarahnya Encik Liu Yingzi telah dipecat atas sebab yang tidak ditentukan dan jawatan mereka akan diisi oleh ahli jawantankuasa wilayah Parti Komunis Encik Wang Hesheng.

 

Pemerintah pusat di Beijing juga menggesa orang awam untuk melaporkan kelalaian tanggungjawab dalam kalangan pemerintah setempat, dan pegawai telah diugut untuk dibuang kerja jika mereka didapati mengabaikan tanggungjawab mereka.

 

Belasan pegawai keselamatan tahap bawah di seluruh negara itu juga telah kehilangan pekerjaan mereka kerana gagal untuk mengekang penularan virus itu, yang berpunca dari sebuah pasar haiwan terlarang di ibu kota Hubei, Wuhan dan telah meragut lebih 1,000 nyawa.

 

Pihak penguasa di Wuhan dan wilayah Hubei telah dipersalahkan di media sosial kerana gagal mengekang wabak awal virus pada Disember lalu atau melaporkannya ke peringkat tinggi pemerintah.

 

Gabenor Hubei Encik Wang Xiaodong dan Mayor Wuhan Encik Zhou Xianwang juga dihimpit kritikan hebat.

 

Pemerintah bandar itu juga dihentam sebab memberikan layanan teruk kepada lapan kakitangan perubatan yang dituduh “menyebarkan khabar angin” mengenai virus baru seperti selesema itu di hujung tahun lalu, termasuk Encik Li Wenliang, seorang doktor yang mati daripada jangkitan virus itu pada Jumaat lalu. - Reuters