Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERGOLAKAN POLITIK DI MALAYSIA

Krisis dalaman Umno boleh jejas keyakinan rakyat jelang PRU15

Jul 08, 2022 | 05:30 AM



UMPAMA retak menanti belah.



Konflik dalaman Umno di belakang tabir yang sudah lama menjadi andaian dan spekulasi akhirnya terbongkar.



Kepimpinan Umno didakwa pernah bersetuju memberi sokongan pada ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mei 2020.



Ini berikutan tindakan lompat parti 'Langkah Sheraton' yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.



Dakwaan yang menggegarkan senario politik Malaysia minggu lalu dibuat ahli politik veteran Umno dari Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.



Beliau mendakwa 15 orang Ahli Parlimen Umno telah menandatangani Perakuan Bersumpah (SD), termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menyokong Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri.



"Saya ini saksi hidup. Saya tidak mahu tandatangan pada mulanya tetapi digesa melakukan demikian. Kemudian mereka melaungkan, "No DAP. No Anwar". Itu semua bohong.



"Mereka berbohong pada orang ramai dan ahli Umno yang di bawah. Saya simpati dengan nasib mereka kerana tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku ," tegas Datuk Seri Tajuddin, yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia baru-baru ini.



Dakwaan itu dibuat hanya beberapa hari setelah Datuk Seri Tajuddin dipecat daripada jawatannya sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno.



Beliau juga pernah digugurkan sebagai pengarah pilihan raya Umno kerana dilihat sering bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu, termasuk masa sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya (PRU) 15.



Selain isu Datuk Seri Anwar, beliau turut mendedahkan komplot menyingkirkan Datuk Seri Zahid daripada jawatan Presiden Umno.



Tetapi langkah itu gagal di saat akhir apabila Timbalan Presiden, Datuk Mohamad Hassan berubah fikiran secara mengejut.



Pendedahan berbisa Datuk Seri Tajuddin itu membawa implikasi besar pada kepimpinan Umno menjelang PRU15, yang dijangka diadakan sebelum hujung tahun ini.



Seorang sumber rapat kepimpinan Umno ketika dihubungi meluahkan rasa kesal pendedahan ini berlaku.



"Ia adalah satu pengkhianatan kepada akur janji, amanah dan sumpah setia sebagai ahli parti," katanya.



Namun begitu, semakin banyak persoalan tidak terjawab timbul apabila Datuk Seri Zahid enggan memberi sebarang komen menafikan dakwaan tersebut.



Malah, spekulasi semakin bertiup kencang apabila Datuk Seri Anwar mengakui sokongan SD untuk melantik beliau menjadi Perdana Menteri adalah benar.



Tetapi, beliau mendakwa sokongan Umno itu diberikan dengan bersyarat.



"Apa berlaku selepas itu adalah, selepas ditandatangani, saya diminta untuk memberi kepastian bahawa urusan mahkamah, terutama melibatkan Najib, tidak akan diteruskan dan saya harus guna kuasa saya selaku PM untuk memastikan ini tidak diteruskan.



"Saya tidak bersedia untuk melakukan itu. Oleh kerana keputusan tegas saya itulah maka Najib mengusulkan calon lain di saat akhir dan menafikan saya," kata beliau dalam satu kenyataan rasmi.



Datuk Seri Najib menafikan dakwaan itu dan menegaskan beliau tidak pernah menggunakan saluran politik untuk menggugurkan kes mahkamah terhadapnya.



"Saya adalah orang parti dan saya akan sentiasa taat kepada keputusan parti," katanya dalam satu kenyataan balas.



Ketika dihubungi, Professor Madya Hamidin Hamid, penganalisis politik Universiti Malaya, berpendapat krisis yang melanda Umno sekarang ini jelas akan mempengaruhi keyakinan rakyat menjelang PRU15.



"Amat sukar bagi Datuk Seri Zahid mempertahankan kedudukannya dalam Umno. Beliau mungkin mempunyai sokongan kumpulan ketua bahagian ketika ini, namun krisis kepercayaan dan kes mahkamah beliau akan dilihat sebagai satu bebanan oleh Umno," jelas beliau.



Pandangan beliau turut dirasakan penyokong dan akar umbi Umno yang bimbang krisis dalaman parti akan menghakis harapan memenangi PRU15 setelah mereka meraih kemenangan besar di Johor dan Melaka.



"Selepas empat tahun negara tidak ke mana-mana, rakyat sudah jemu dengan politik kutuk-mengutuk dan jijik dengan politik baling batu, sembunyi tangan.



"Rakyat dan akar umbi mahukan PRU untuk memilih wajah baru dan tidak lagi tokoh-tokoh 'recycle'. Rakyat nak 'reset' negara ini," kata satu sumber Umno dengan nada penuh kekesalan.




"Amat sukar bagi Datuk Seri Zahid mempertahankan kedudukannya dalam Umno. Beliau mungkin mempunyai sokongan kumpulan ketua bahagian ketika ini, namun krisis kepercayaan dan kes mahkamah beliau akan dilihat sebagai satu bebanan oleh Umno."
- Professor Madya Hamidin Hamid, penganalisis politik Universiti Malaya.




  • Penulis mantan wartawan Berita Harian. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >