LA PALMA, (Sepanyol): Lahar panas daripada satu gunung berapi yang menjejas teruk Pulau La Palma di Sepanyol telah sampai ke Lautan Atlantik lewat kelmarin, sembilan hari setelah ia mula mengalir ke bawah gunung, menghancurkan bangunan dan memusnahkan tanaman.
Kepulan wap putih terbentuk dari kawasan Playa Nueva ketika lahar itu bersentuhan dengan laut (gambar), menurut gambar Reuters.
Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan lahar terkumpul berhampiran tebing.
Pegawai pemerintah mengatakan lahar yang mengalir ke laut boleh mencetuskan letupan dan awan gas beracun dengan perkhidmatan kecemasan Kepulauan Canary menggesa mereka yang berada di luar rumah untuk segera mencari tempat yang selamat untuk berlindung.
Tiada kecederaan dilaporkan sejauh ini.
Setakat ini juga, lahar itu telah memusnahkan hampir 600 tempat kediaman dan tanaman pisang yang luas di pulau La Palma itu.
Ribuan orang telah dipindahkan dengan tiga perkampungan di kawasan pesisir dikenakan sekatan ketat sejak Isnin sedang pihak berkuasa menjangka lahar itu melakukan perjalanan menuju ke Lautan Atlantik. - Reuters.