KUALA LUMPUR: Polis mula mengawal laluan keluar masuk ke kediaman peribadi mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata ini dilakukan bagi mengawal keselamatan kediaman terbabit.
Polis turut menempatkan balai polis bergerak selain membuat pemeriksaan ke atas setiap individu mahupun kenderaan yang ingin masuk ke kawasan itu.
Difahamkan, arahan kawalan keselamatan itu dikeluarkan mulai semalam.
Susulan itu, pengamal media yang berkumpul di kawasan kediaman itu juga tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan berbanding sebelum itu di mana wartawan dan jurugambar telah berkumpul di depan pintu pagar kediaman tersebut bagi membuat liputan. - Agensi berita