KUALA LUMPUR: Langkah Malaysia membenarkan guru dalam perkhidmatan awam terlibat dalam politik telah menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap sistem pendidikan di negara itu.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu terpakai kepada semua guru, termasuk mereka di prasekolah, sekali gus membatalkan pekeliling sebelum ini yang menghalang tenaga kerja awam utama Malaysia itu daripada menyertai politik.
Pengumuman itu dilakukan sedang pilihan raya umum dijangka berlangsung akhir tahun ini.
Pilihan raya itu akan mempunyai jutaan pengundi baru selepas umur mengundi di Malaysia diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Datuk Seri Ismail memaklumkan garis panduan lanjut mengenai perkara itu akan dikeluarkan kemudian.
Namun, golongan aktivis, penganalisis dan ibu bapa menggesa pendekatan berhati-hati dan meminta garis panduan lebih jelas untuk memutuskan sejauh mana penyertaan politik golongan guru itu.
Setakat 2020, Kementerian Pendidikan menyatakan terdapat 416,743 guru di sekolah rendah dan menengah.
"Pokoknya mereka tidak seharusnya berkompromi atau meninggalkan tugas teras mereka - iaitu mendidik," kata Dr Jeniri Amir, seorang felo kanan di Majlis Profesor Malaysia, sebuah kolektif akademik.
Dr Jeniri berkata terdapat persoalan mengapa guru dibenarkan terlibat dalam politik selepas dilarang selama bertahun-tahun berbuat demikian.
"Guru dalam perkhidmatan awam cenderung menyokong kerajaan semasa, jadi mereka boleh mempengaruhi pelajar yang mereka didik," kata Dr Jeniri kepada The Straits Times.
Beliau menarik perhatian bahawa dengan penurunan umur pengundi baru, guru juga berkemungkinan memainkan peranan besar dalam mendidik generasi pengundi akan datang mengenai politik.
"Mungkin mereka boleh membantu meningkatkan kecelikan politik dan berkongsi pemikiran mereka, tetapi mesti ada garis panduan sejauh mana penglibatan mereka (dalam politik)," tambahnya.
Ibu bapa juga melahirkan kebimbangan dan menyeru guru yang memilih untuk terlibat dalam politik agar memisahkan ideologi politik mereka daripada tugas bilik darjah.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sambil mengalu-alukan langkah itu, turut menggesa guru supaya tidak mengabaikan tugas sebenar mereka apabila terlibat dalam politik.
Ketua NUTP, Encik Aminuddin Awang, berkata guru tidak seharusnya menyalahgunakan jawatan yang mereka pegang dalam parti politik untuk kepentingan peribadi mereka. - ST.