Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Langkah untuk jatuhkan kerajaan negeri Sabah dikatakan gagal

Jumlah kerusi yang diperlukan untuk jatuhkan Ketua Menteri Hajiji Noor gagal dicapai
Jan 07, 2023 | 05:30 AM



KOTA KINABALU: Langkah untuk menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dikatakan gagal.



Difahamkan bahawa jumlah yang diperlukan untuk majoriti mudah - 40 daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - masih sukar dibentuk.



Spekulasi berleluasa sejak dua hari lalu bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongannya daripada kerajaan negeri GRS dengan hasrat untuk membentuk kerajaan campuran dengan Parti Warisan, lapor akhbar The Star.



Kelmarin Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, dalam kenyataan memaklumkan bahawa Datuk Hajiji menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah.



Datuk Masidi mendakwa sokongan terhadap Datuk Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah turut diberikan oleh tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) dan bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak yang berwajib apabila dan sekiranya perlu.



Kenyataan itu rentetan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa mereka memperoleh sokongan lebih separuh Adun Sabah untuk membolehkan mereka menubuhkan kerajaan negeri yang baru.



Difahamkan, walaupun sokongan 19 Adun Warisan kekal utuh, 17 wakil BN Sabah tidak bersetuju sepenuhnya dengan langkah menarik sokongan mereka daripada kerajaan Datuk Hajiji.



PH Sabah juga telah menjauhkan diri daripada menyokong kemungkinan gabungan Warisan-Barisan itu.



Pengerusinya Datuk Christina Liew berkata pendirian mereka tidak berubah, iaitu mereka berdiri teguh bersama Kerajaan Perpaduan Persekutuan dan menyokong kerajaan negeri di bawah Datuk Hajiji.



Beliau berkata, tiada seorang pun daripada tujuh Adunnya telah menandatangani akuan berkanun untuk menyokong mana-mana parti.



Sementara itu, Adun GRS turut berkumpul di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah sejak 6 petang kelmarin untuk menyokong Datuk Hajiji.



Terdahulu, Warisan telah memanggil sidang media di Hotel Pacific Sutera.



Bagaimanapun, semua Adun Warisan hadir kecuali presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dikatakan akan mengadakan sidang media bersama Datuk Seri Bung Moktar Radin.



Tetapi pada lewat petang, jelas Datuk Bung tidak hadir manakala Datuk Shafie juga tidak muncul.



Seorang pegawai parti Warisan kemudian memohon maaf kepada media sambil menjelaskan sidang media itu telah ditangguhkan tanpa memberi sebarang sebab.



Setakat ini, Datuk Shafie mahupun Datuk Seri Bung belum secara rasmi mengulas mengenai kemungkinan langkah kedua-dua parti membentuk kerajaan campuran di Sabah.



Difahamkan, Datuk Bung bertemu dengan pemimpin kanan Umno negeri di ibu pejabat Umno Sabah sejurus tiba dari Kuala Lumpur kelmarin.



Namun tidak jelas apakah perbincangan itu tetapi seorang pegawai kanan parti berkata mereka masih menunggu kepimpinan negeri untuk mendapatkan nasihat.



Beberapa sumber parti menunjukkan bahawa Adun Umno Sabah tidak sebulat suara mengenai idea bekerjasama dengan Warisan.



Setakat ini, GRS mempunyai 29 Adun di kem mereka, termasuk 15 ahli GRS (bekas Parti Pribumi Bersatu Malaysia); tujuh dari Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)(enam); dan Parti Maju Sabah (SAPP) (satu).



Barisan mempunyai 17 Adun.



Difahamkan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mempunyai tiga kerusi serta PAS dan Parti Bangsa Malaysia, masing-masing dengan seorang Adun, dan seorang wakil bebas turut mesra kerajaan negeri - bermakna Datuk Hajiji kini mendapat sokongan 53 Adun.



Setakat ini, rakan kongsi GRS PBS dan STAR telah menyokong Datuk Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri.



Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata mana-mana kumpulan yang cuba menggulingkan kerajaan sedia ada perlu menunggu sehingga pilihan raya negeri akan datang kerana tumpuan sepatutnya adalah untuk menyatukan dan membangunkan negeri. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >