MANILA: Lapan anggota sebuah geng penjenayah yang telah berikrar taat setia kepada kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) terbunuh dalam pertempuran dengan tentera di selatan Filipina, kata para pegawai pada Jumaat (27 Nov).
Pertempuran sejam itu berlaku pada Khamis (26 Nov) di Palimbang, sebuah bandar terpencil di selatan, yang majoriti penduduknya Muslim.
Penjenayah itu daripada Ansar al-Khalifa, sebuah kumpulan kecil yang mengisytihar sokongan kepada ISIS dalam sebuah video yang diedar di Internet tahun lalu, kata jurucakap tentera serantau, Mejar Filemon Tan.
Bagaimanapun, pemerintah Filipina berkata tidak ada bukti menunjukkan kumpulan itu menerima sokongan daripada ISIS.
Kumpulan Abu Sayyaf yang lebih besar di Filipina juga telah berikrar taat setia kepada ISIS.
Menurut Mejar Tan, lima bendera hitam serupa bendera yang digunakan militan ISIS ditemui selepas pertempuran itu.
Kumpulan-kumpulan jenayah melakukan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan dan kegiatan peras ugut bersama kegiatan pemisah Islam dan komunis di selatan Filipina yang bergolak.
Walaupun kumpulan Ansar al-Khalifa yang agak baru itu telah melakukan perbuatan peras ugut ahli perniagaan dan mencuri lembu daripada petani, tiada bukti ia ada kaitan dengan ISIS, ujar jurucakap tentera, Kolonel Restituto Padilla.
"Kumpulan ini cuba mengambil kesempatan daripada populariti ISIS, tetapi mereka sebenarnya bukan ISIS," katanya. - AFP