Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 2,500 pasukan pematuhan dikerah ke seluruh M'sia sempena CNY

Lebih 2,500 pasukan pematuhan dikerah ke seluruh M'sia sempena CNY
KUALA LUMPUR: Sejumlah 2,532 pasukan pematuhan akan dikerahkan ke seluruh negara bagi memantau kegiatan semasa tempoh perayaan Tahun Baru Cina.
Pesuruhjaya Polis Malaysia, Encik Hazani Ghazali, pengarah Jabatan Keselamatan Awam dan Keselamatan Dalam Negeri, yang mendedahkan hal itu kelmarin berkata, lebih 8,000 anggota dan pegawai polis akan berganding bahu dengan agensi penguatkuasa lain yang terlibat.
"Pasukan-pasukan ini akan dikerahkan sedang kami meningkatkan operasi pematuhan semasa tempoh perayaan. Kami mahu memastikan tatacara operasi standard (SOP) dipatuhi.
"Rondaan akan dipertingkat bagi menekankan keutamaan terhadap SOP ini," katanya kepada akhbar The Star.
Encik Hazani menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP bagi mengelak penularan Covid19.
"Virus ini masih lagi berleluasa dan kekal bahaya. Kerajaan telah melonggarkan beberapa sekatan bagi membolehkan perjalanan rentas negeri dan mengadakan makan malam sekeluarga, kami harap orang awam akan akur dan memainkan peranan mereka, tambahnya.
Beliau mengingatkan orang ramai pentingnya menjaga jarak selamat dan elak berada di tempat yang sesak.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia (BHM) semalam melaporkan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar dan terkawal sedang penduduk negara itu meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ditukil BHM sebagai berkata setakat jam 11.35 pagi semalam, aliran trafik menuju utara dan selatan negara lancar berikutan orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung halaman masing-masing bermula Jumaat lalu.
Dalam pada itu, lebih 11.89 juta individu dewasa atau 50.8 peratus daripada populasi kumpulan itu di Malaysia telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat kelmarin.
Berdasarkan data di laman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), COVIDNOW, seramai 22,924,199 individu dewasa atau 97.9 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, manakala 99.1 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,787,942 atau 88.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi sementara 2,867,585 atau 91.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Kelmarin, sebanyak 78,731 dos vaksin diberikan membabitkan 510 dos pertama, 728 dos kedua dan 77,493 dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 63,466,293 dos.
Usaha menangani penularan pandemik Covid19 di Malaysia juga menyaksikan sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) mencipta mesin pensterilan pelitup muka yang pertama di negara itu menggunakan gabungan sinaran ultraungu (UV) yang dapat menyah cemar atau steril pelitup muka yang sudah digunakan, lapor BHM.
Ketua Penyelidik, Dr Mohd Ridha Muhammad, berkata pembangunan mesin Ultravoilet C (UVC) itu menyerupai set gelombang mikro yang membolehkan pelitup muka dinyah cemar daripada Covid-19 serta virus lain, sekali gus membolehkan pelitup muka digunakan semula.
Beliau berkata, kegunaan UV berkesan bagi nyah cemar virus dan mesin berkenaan direka khas bagi nyah cemar pelitup muka.
"Idea dan rekaan mesin ini adalah inisiatif Pakar Perubatan Pusat Perubatan UM bersama Penyelidik Fakulti Kejuruteraan dalam menangani isu kekurangan peralatan pelindung diri (PPE).