Topic followed successfully
Go to BHkuLebih 30,000 akan divaksin sehari di Lembah Klang: Khairy
Lebih 30,000 akan divaksin sehari di Lembah Klang: Khairy
Lebih 30,000 akan divaksin sehari di Lembah Klang: Khairy
KUALA LUMPUR: Lebih 30,000 orang di Lembah Klang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 setiap hari, sejurus selepas proses itu dipertingkat di beberapa pusat vaksinasi mega di sini, umum Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin.
Beliau, yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), berkata rancangan itu akan terhasil dengan matlamat meningkatkan kapasiti 10,000 vaksinasi harian di pusat vaksinasi mega Pusat Konvensyen KL (KLCC) kepada 15,000 sehari dalam beberapa minggu mendatang.
"Kami mulakan dengan 3,900 vaksinasi sehari di Pusat Konvensyen KL. Setelah prosesnya menjadi lebih berkesan, kami akan meningkatkannya hingga 10,000 vaksinasi.
"Sekiranya kami diizinkan membuka tingkat atas di sini, kami akan dapat menambah 5,000 vaksinasi sehari," katanya kepada wartawan setelah mengunjungi pusat di KLCC itu, yang mulai beroperasi kelmarin.
Encik Khairy menambah bahawa pusat vaksinasi mega di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kini mengendalikan sekitar 8,000 vaksinasi sehari.
"Ini adalah jumlah yang besar, tetapi jika anda pergi ke WTCKL sekarang, prosesnya berjalan lancar dan tidak ada kesesakan lagi, kecuali masalah yang dihadapi sebelum ini kerana masalah dengan janji temu," katanya.
Selain KLCC, pusat vaksinasi mega lain yang dibuka kelmarin ialah Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Setia City, dan UiTM Puncak Alam, yang juga dapat memberi vaksinasi kepada sekitar 15,000 orang sehari setelah beroperasi sepenuhnya.
Perdana Menteri Malayasia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini berkata lebih banyak pusat vaksinasi mega diharap dapat didirikan, terutama di kawasan berpenduduk padat seperti Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
Pusat vaksinasi mega pertama di Malaysia didirikan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada 30 Mei.
Sementara itu, pengamal media berdaftar di bawah program vaksinasi nasional akan mula menerima vaksinasi mereka hari ini, kata Encik Khairy.
Beliau berkata pihaknya sedang berusaha meningkatkan jumlah kakitangan media bagi menerima vaksin.
Dilaporkan seramai 5,687 kakitangan media daripada 114 agensi media berdaftar akan menerima suntikan vaksin mereka.
Keputusan itu diambil Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 sejajar dengan keputusan kerajaan memberi keutamaan kepada barisan depan, termasuk kakitangan media dan guru.
Encik Khairy menasihati orang ramai yang mempunyai janji temu vaksinasi supaya tidak menolak vaksin yang ditawarkan kerajaan.
"Kami akan menjadualkan semula janji temu mereka, tetapi kami harus memberitahu mereka bahawa walaupun anda menjadualkan semula, anda tidak dapat memilih vaksin.
"Tidak ada jaminan anda akan mendapat vaksin Pfizer," ujarnya.
Beliau juga menarik perhatian bahawa penggunaan vaksin Sinovac telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sementara itu, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Malaysia terus menurun kelmarin, hari kelima berturut-turut, ke paras 0.97.
Ini berbanding 0.99 pada Ahad lalu, 1.00 pada Sabtu dan 1.03 Jumaat lepas.
Data itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di Facebooknya dan menunjukkan penurunan itu paling rendah sejak nilai tertinggi direkodkan tahun ini, iaitu 1.21 pada 23 Mei dan 1.20 pada dua hari selepasnya. - The Star, BHM.
"Kami mulakan dengan 3,900 vaksinasi sehari di Pusat Konvensyen KL. Setelah prosesnya menjadi lebih berkesan, kami akan meningkatkannya hingga 10,000 vaksinasi. Sekiranya kami diizinkan membuka tingkat atas di sini, kami akan dapat menambah 5,000 vaksinasi sehari." - Encik Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Malaysia, mengenai kapasiti pusat vaksinasi mega Pusat Konvensyen KL (KLCC)

