GEMPA BUMI DI LOMBOK

Lebih 70,000 hilang tempat tinggal

Gempa sekuat 7 pada skala Richter ragut 105 nyawa; 236 mangsa cedera parah; lebih 4,000 orang kebanyakannya pelancong terjejas

MATARAM (LOMBOK): Penyelamat semalam berusaha gigih mencari mangsa yang mungkin terselamat di bawah runtuhan sebuah masjid di Lombok Utara, salah satu kawasan paling teruk terjejas oleh gempa bumi kuat yang melanda pulau itu Ahad lalu.

Pegawai daripada Basarnas (agensi mencari dan menyelamat Indonesia), pasukan tentera dan penyelamat daripada syarikat perlombongan swasta yang beroperasi di Indonesia mulai mencari melalui reruntuhan Masjid Jami'ul Jama'ah di desa Karang Pangsor.

Akhbar The Straits Times melihat penggali menggali runtuhan masjid itu sedang penduduk kampung menyaksikan usaha tersebut dengan cemas dan harapan ada orang masih hidup di bawah.

Usaha itu telah lama dinantikan penduduk kampung, kerana mesin mesin pengorek hanya tiba di situ kira-kira 60 jam selepas gempa melanda ketika banyak masjid dipenuhi jemaah solat isya.

Semalam pagi, penyelamat menemui mayat seorang wanita dari reruntuhan itu tetapi lebih ramai mangsa dipercayai berada di bawahnya.

"Kami telah memindahkan satu mangsa setakat ini, kami akan terus mencari semua mangsa hingga tiada siapa yang tinggal di bawah reruntuhan itu," kata Sardi Amin daripada Basarnas.

Di bahagian lain di Lombok Utara, penyelamat di kampung Lading-Lading menemui beberapa mayat dan seorang mangsa yang terselamat dari reruntuhan Masjid Jabbal Nur Selasa lalu.

Gempa sekuat 7.0 pada skala Richter itu membunuh 105 orang, dengan 236 mangsa cedera parah. Beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Jurucakap agensi bencana nasional Sutopo Purwo Nugroho memberitahu pemberita semalam bahawa jumlah korban terus meningkat dan lebih 70,000 orang telah dipindahkan dan puluhan ribu rumah runtuh.

Gempa itu juga menjejas pelancong, dengan lebih 4,000 orang, kebanyakannya pelancong, dipindahkan dari pulau-pulau, atau gili, yang popular di pantai barat daya Lombok.

Upaya menyelamat terhambat oleh kekurangan peralatan mengangkat berat, seperti mesin penggorek, sedang beratus-ratus gempa susulan terus menggegarkan pulau itu.

Terdapat kebimbangan bahawa jumlah kematian akan meningkat apabila penyelamat semakin mencari di reruntuhan rumah, sekolah dan masjid.

Gempa itu turut menjejas beberapa bahagian di pulau jiran Bali.

"Usaha mencari dan memindahkan mangsa telah dipergiat tetapi masih ada banyak masalah di lapangan," kata Dr Sutopo.

Peralatan berat dari Jakarta, daripada unit simpanan strategik tentera dan marin, dijangka tiba di lapangan.

"Kami juga meminta syarikat swasta, syarikat pembinaan membantu dengan menggunakan alat berat mereka bagi menyertai (saha menyelamatr)," kata Dr Muhammad Zainul Majdi, gabenor wilayah Nusa Tenggara Barat, kepada akhbar itu.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak bagi kakitangan perubatan, makanan dan ubat-ubatan di kawasan terjejas paling teruk. Mangsa yang cedera dirawat di luar hospital yang rosak di bandar utama Mataram dan kawasan lain yang terjejas teruk.

"Kami mempunyai sumber manusia terhad. Beberapa paramedik perlu berada di tempat perlindungan, ada pula perlu bergerak," kata Dr Zainul kepada agensi berita AFP.

"Gempa ini sangat besar bagi kami di Nusa Tenggara Barat, ini pengalaman pertama kami."

Semalam, Hendry Achmad, penyelamat di Berau Coal, membantu di Masjid Jami'ul Jama'ah, yang runtuh mencium bumi.

Hendry berkata dalam kes sedemikian, kemungkinan mangsa terselamat adalah tipis kerana terdapat sedikit, jika ada, ruang bagi mangsa terselamat berlindung.

Di seluruh Lombok Utara, banyak rumah dan bangunan lain musnah atau rosak teruk.

Mangsa terselamat menceritakan tentang tuah mereka dapat mengelakkan maut, sementara yang lain melahirkan harapan orang tersayang mereka yang hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Galeri Foto