Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:08
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Dunia

Lebih sejuta bantah tindakan Perdana Menteri Britain gantung Parlimen

Aug 29, 2019 | 07:47 AM

LONDON: Petisyen dalam talian yang membantah tindakan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, untuk menggantung Parlimen beberapa minggu sebelum Brexit berjaya mengumpulkan lebih sejuta tandatangan dalam masa beberapa jam.

Di laman webnya, petisyen menyatakan Parlimen tidak boleh digantung atau dibubarkan kecuali dan sehingga pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah (EU), yang dijadualkan pada 31 Oktober ini, dilanjutkan atau dibatalkan.

Langkah mengejut diambil Encik Johnson itu telah menerima kelulusan Ratu Elizabeth.

Ia dilaksanakan hanya dua minggu sebelum Brexit sehingga mencetuskan kemarahan penggubal dasar, yang menentang pemisahan daripada EU.

Penggubal dasar akan ke London lebih lewat berbanding beberapa tahun sebelum ini dan ia memberikan penggubal dasar pro EU masa yang terhad, berbanding jangkaan untuk menggagalkan rancangan Brexit Johnson, sebelum Britain keluar daripada blok itu pada 31 Oktober depan.

“Kita akan melakukannya pada 14 Oktober. Kedua-dua pihak mempunyai banyak masa untuk persidangan 17 Oktober ini, penggubal dasar mempunyai tempoh panjang untuk berbahas,” kata Johnson yang dijadualkan menyertai persidangan EU, tiga hari lagi.

Berita itu menyebabkan mata wang pound jatuh hampir satu peratus berbanding dolar dan euro.

Sumber pejabat Johnson di Downing Street menegaskan tindakan itu hanya menyebabkan tempoh persidangan bagi dewan rendah berkurangan sebanyak empat hari sahaja.

Parlimen dijangka kembali bersidang selepas cuti musim panas pada 3 September depan.

“Tindakan ini adalah skandal jelas terhadap demokrasi kita. Kita tidak boleh membiarkan ia berlaku,” kata timbalan ketua pembangkang utama Parti Buruh, Tom Watson. - AFP, AP

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian