Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Lelaki dipercayai dalang pembikinan dua video judi Raya di M'sia diburu polis

Apr 17, 2021 | 05:48 PM



KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai dalang kepada pembikinan dua video judi raya secara dalam talian yang tular di media sosial sejak Jumaat (16 April).



Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Zainal Abdullah, lelaki berusia 35 tahun itu dikehendaki kerana terlibat dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian.



"Kita ada maklumat seorang lelaki bernama Loh Kee Hoe berumur 35 tahun. Kita percaya mungkin individu ini adalah penganjur yang boleh nanti membantu siasatan kes kita.



"Mengikut maklumat tangkapan kita, suspek adalah individu yang mengarahkan untuk pembikinan video berkenaan. Suspek yang mencari ejen dan juga pihak produksi,” katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi pada Sabtu (17 April).



Mengulas lanjut, seorang lagi suspek ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung video pertama judi raya yang tular pada Jumaat.



Manakala dua daripada lapan individu yang ditahan sebelum ini akan direman sehingga 21 April depan, lapor laman Astro Awani.



"Daripada lapan (individu) kita tahan, dua orang kita reman 17 sehingga 21 April depan, manakala enam orang lagi kita tidak dapat tahan reman kerana ditolak oleh Majistret.



"Mereka ini hanyalah pelakon, mereka berikan kerjasama dan peguam mereka berjanji untuk beri kerjasama apabila diperlukan," katanya lagi.



Dua individu itu, tambah Mohamad Zainal, ialah penerbit dan jurukamera yang dipercayai terlibat dalam pembikinan video pertama judi raya yang tular sejak Jumaat.



Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.



Sementara itu, pelakon iklan kontroversi Hari Raya berkenaan, Saifullah Mohd Yunus, tampil membuat penjelasan dan mengakui beliau serta pelakon-pelakon lain yang terlibat, tidak tahu iklan itu dikaitkan dengan aktiviti judi.



Memetik laporan mStar, Saifullah mendedahkan, beliau hanya mengetahui iklan terbabit mempromosikan perjudian dalam talian selepas 70 peratus proses penggambaran selesai.



"Pada mulanya, pengarah itu beritahu pada saya sendiri yang mana saya adalah pelakon utama dalam penggambaran muzik video itu, tetapi benda itu tidak jelas.



“Sebenarnya sebelum saya memasuki ke set penggambaran pada 13 Mac lalu itu dan ketika di lokasi itu, saya difahamkan saya hanyalah watak sampingan sahaja.



"Ketika di lokasi penggambaran, babak-babak penggambaran saya sudah selesai dalam kira-kira 70 peratus, saya dah selesaikan babak-babak saya dan kemudian apabila tiba di bahagian babak lirik, dia bagi lirik.



“Kita (termasuk pelakon lain) tidak hafal langsung, dia tulis dan lirik diletakkan di sebelah kamera dan pihak produksi meminta kami ‘lip sync’ atau gerak bibir, bukan kami yang menyanyi, itu bukan kami punya suara, ia adalah suara belakang tabir,” jelasnya.



Saifullah menambah beliau cukup kecewa dan bersalah selepas menyedari dirinya terlibat dengan satu perbuatan yang jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.



“Saya sangat kecewa, sehinggakan saya tidak dapat tidur semalam... saya berfikir, benda ni sangat teruk, saya terima banyak kecaman.



“Saya rasa sangat bersalah kerana saya sepatutnya bersikap lebih peka dan teliti. Saya ingin memohon maaf kerana tidak betul-betul teliti dengan projek iklan tersebut.



“Sepatutnya saya mengkaji latar belakang syarikat produksi itu terlebih dahulu, apa jalan ceritanya dan maklumat rakaman itu, termasuk segala perincian tugas yang perlu diambil.



Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berhubung sebuah video iklan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.



Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah berkata, siasatan ke atas video tersebut akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon itu.



Iklan dua minit satu saat oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.



Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berhubung dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan Youtube agar menurunkan iklan kontroversi judi raya.



Iklan tersebut diturunkan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian masyarakat yang ditetapkan oleh penyedia platform yang berpangkalan di luar negara.



Menurut kenyataan MCMC, kegiatan judi dan promosi judi dalam talian adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).



"Pihak MCMC sejak 12 Mac 2021 lalu juga telah mengoperasikan tindakan sekatan secara laluan pantas (fast-track) dengan mengupayakan pihak PDRM mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet agar menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar peruntukan undang-undang di bawah akta yang sama," kata kenyataan itu. - Astro Awani/mStar Online




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >