Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki Indonesia bunuh jiran dek bosan kerap ditanya kenapa tidak kahwin

Aug 4, 2024 | 8:57 PM
Parlindungan Siregar didakwa membunuh jirannya kerana tidak tahan kerap ditanya mengapa tidak berkahwin pada usia yang semakin lanjut.
Parlindungan Siregar didakwa membunuh jirannya kerana tidak tahan kerap ditanya mengapa tidak berkahwin pada usia yang semakin lanjut. - Foto Polis Kabupaten Tapanuli Selatan

SUMATERA: Soal jodoh dan pertemuan sememangnya terletak di tangan Tuhan.

Justeru tidak ramai yang suka apabila kerap ditanya mengapa masih belum berumah tangga ketika sudah lanjut usia.

Di Indonesia, seorang lelaki berusia 45 tahun didakwa membunuh jirannya yang berusia 60 tahun selepas dia tersinggung dan menjadi marah kerana selalu ditanya mengapa dia tidak berkahwin.

Media Indonesia melaporkan kejadian itu berlaku di Tapanuli Selatan, yang terletak di Sumatera Utara, pada 29 Julai.

Mangsa adalah pesara penjawat awam bernama Encik Asgim Irianto, kata Penolong Pesuruhjaya Polis (AKP) Maria Marpaung dari wilayah itu pada 31 Julai.

Menurut Detik Jogja, AKP Maria berkata bahawa berdasarkan kenyataan isteri Encik Asgim, tertuduh, Parlindungan Siregar, tiba di rumah mereka sekitar 8 malam pada 29 Julai sambil menghunus sebatang kayu dan mula menyerang mangsa.

Dalam keadaan ketakutan dan kelam kabut, Encik Asgim terus berlari keluar ke jalan raya dengan dikejar oleh Parlindungan yang kemudian memukulnya di kepala.

Setelah Encik Asgim terjatuh, Parlindungan terus membelasahnya.

Penduduk di kawasan itu sempat menghentikan serangan ke atas Encik Asgim dan mengejarkannya ke hospital, tetapi beliau meninggal dunia dalam perjalanan, kata AKP Maria.

Polis menangkap Parlindungan dalam tempoh sejam selepas serangan itu berlaku, lapor Kompas.

Menurut AKP Maria, ketika disoal siasat, Parlindungan berkata dia bertekad untuk memukul Encik Asgim kerana dia tersinggung dengan jirannya yang kerap bertanya kepadanya, secara berseloroh, mengapa dia tidak berkahwin.

Sebelum serangan maut itu, kedua-dua jiran itu dilaporkan turut bertengkar apabila ayam milik mereka pergi ke reban satu sama lain, lapor Detik Jogja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg