SEORANG wanita warga Singapura berusia 51 tahun, Cik Pek Ying Ling, ditemui mati pada Isnin (6 Disember) di apartmen mewah di Newcastle.
Suaminya, Fong Soong Hert, 50 tahun, didakwa membunuhnya dalam kunjungan pasangan dari Singapura itu ke Britain.
Pihak polis menerima panggilan telefon sekitar 7.15 pagi pada Isnin (3.15 petang, waktu Singapura) dengan khidmat kecemasan mendapati dirinya tidak lagi bernafas di apartmen sekitar Westgate Road, Newcastle.
Cik Pek disahkan mati di apartmen itu tidak lama selepas itu.
Fong kemudian diberkas dan didakwa membunuh isterinya.
Media Britain melaporkan pasangan itu berada di County Aparthotel, kemudahan yang mempunyai 18 apartmen pangsapuri mewah di pusat bandar Newcastle.
Keluarga terdekat Cik Pek dilaporkan disokong pegawai spesialis dengan mereka meminta privasi.
Fong dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Newcastle Crown pada 7 Januari tahun depan.
Hasil pemeriksaan akhbar The Straits Times, pasangan ini dikatakan terlibat dalam industri penganjuran acara di Singapura serta sudah berkahwin selama lebih 27 tahun.
Rekod perniagaan menunjukkan Cik Pek disenaraikan sebagai pengarah syarikat pengurusan acara Epic Times manakala Fong adalah setiausahanya.
Fong juga adalah pengarah tiga lagi syarikat berkaitan dengan pengurusan acara dan ruang.
The Straits Times turut menghubungi Kementerian Ehwal Luar dan Northumbria Police di England bagi mengulas perkara ini.