WELLINGTON: Tiga lembu yang terdampar di sebuah busut selepas gempa bumi sekuat 7.8 menggegarkan New Zealand telah diselamatkan oleh pasukan penyelamat, lapor media pada Selasa (15 Nov).
Nasib lembu itu viral pada Isnin selepas video dari helikopter menunjukkan haiwan tersebut terperangkap di busut rumput dekat Kaikoura, kira-kira 150 kilometer ke timur laut Christchurch.
Tanah di sekeliling haiwan itu nampaknya telah bergerak atau runtuh semasa gegaran tersebut.
Seorang petani, yang berkata lembu itu sebahagian daripada sekumpulan 14 ekor yang beliau selamatkan, bekerja bersama satu pasukan untuk menggali laluan bagi haiwan tersebut melarikan diri, setelah memastikan tanah di situ selamat, kata Newshub.
"Tanah agak lembut kerana ia berbingkah-bingkah dan dengan terhuyung-hayang, kami berjaya membuat laluan dan membawa haiwan itu keluar," kata petani yang tidak dinamakan itu.
"Haiwan-haiwan itu sangat memerlukan air... dan saya rasa satu atau dua ekor kehilangan anak dalam gempa itu, jadi mereka agak sedih."
Jalan hubung ke Kaikoura terputus disebabkan tanah runtuh besar berikutan gempa tersebut, yang melanda sejurus selepas tengah malam Ahad (13 Nov) lalu dan memusnahkan rumah ladang dan jalan raya serta kereta api di seluruh kawasan timur laut Pulau Selatan.
"Kami kehilangan binatang ternakan. Seluruh lereng bukit runtuh semasa gempa itu dan kami mempunyai banyak haiwan ternakan di sana - kami tidak tahu apa yang kami ada," kata petani itu. - Reuters