KABUL: Sekurang-kurangnya dua letupan berlaku berhampiran lapangan terbang Kabul pada Khamis (26 Ogos), menurut jurucakap Pentagon.
Mangsa termasuk anggota awam dan pegawai perkhidmatan Amerika Syarikat.
Jurucakap Pentagon John Kirby berkata satu letupan berlaku di Abbey Gate di lapangan terbang itu, sementara satu lagi berlaku di Hotel Baron.
Menurut pegawai AS, sekurang-kurangnya satu daripada letupan itu berpunca daripada pengeboman bunuh diri.
“Kami mengesahkan bahawa letupan di Abbey Gate berpunca dari serangan kompleks yang mengakibatkan orang awam dan warga AS terbunuh,” kata Encik Kirby menerusi kiriman Twitter.
“Kami juga mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya satu letupan lain berlaku di atau berhampiran Hotel Baron, yang terletak berdekatan Abbey Gate.”
Pegawai Taleban menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 13 mangsa terkorban dalam letupan itu, termasuk kanak-kanak, dan ramai pegawai Taleban cedera.
Pegawai AS memberitahu Reuters bahawa sebanyak tiga pegawai perkhidmatan AS cedera dan mangsa warga AS dijangka meningkat.
Letupan tersebut berlaku selepas pemerintah AS dan Britain mengeluarkan amaran kepada warganya supaya tidak ke lapangan terbang Kabul kerana terdapat risiko serangan.- AFP
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
1/3
Tutup Kuiz
28
0
13 mangsa termasuk kanak-kanak terbunuh dalam dua letupan di lapangan terbang Kabul
Aug 26, 2021 | 10:53 PM