Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Letupan di Kyiv, beberapa bandar lain Ukraine

Feb 25, 2022 | 06:55 AM



KYIV: Letupan kuat kedengaran awal pagi semalam di ibu kota Ukraine, Kyiv, dan beberapa bandar berhampiran barisan hadapan serta di kawasan pantai negara itu, selepas Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, mengumumkan operasi ketenteraan di negara jiran Ukraine.



Wartawan AFP juga mendengar letupan di bandar pelabuhan Laut Hitam, Odessa, dengan siren polis dan ambulans pula kedengaran di serata Kyiv.



Letupan juga kedengaran di Kharkiv, sebuah bandar besar 35 kilometer ke selatan sempadan Russia.



Empat letupan kuat turut kedengaran di Kramatorsk, sebuah bandar barisan hadapan yang berfungsi sebagai ibu pejabat pihak berkuasa Ukraine bagi menangani zon perang di timur negara itu, dengan lebih banyak letupan kedengaran di bandar pelabuhan timur Mariupol, kata wartawan AFP.



Russia menyasarkan prasarana tentera, pertahanan udara dan tentera udara Ukraine dengan menggunakan senjata berketepatan tinggi, dan tidak menyerang bandar-bandar Ukraine, lapor agensi berita Russia, RIA, yang memetik Kementerian Pertahanan negara itu.



Selain itu, turut kedengaran bunyi letupan di bandar Donetsk di timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah, kata seorang saksi Reuters.



Menyusuli letupan itu, empat trak tentera dilihat menuju ke tempat kejadian. Beberapa jam sebelum itu, Kremlin mendakwa dua wilayah pemisah di Ukraine, Donetsk dan Luhansk, telah meminta bantuan Russia untuk menangkis "pencerobohan" tentera Ukraine.



Pemisah Donetsk dan Luhansk yang disokong Russia itu menguasai kira-kira 30 peratus dua wilayah Ukraine itu hingga kelmarin, dengan selebihnya di bawah kawalan tentera pemerintah Ukraine.



Sebelumnya, dua konvoi berasingan membawa peralatan ketenteraan dilihat bergerak ke arah Donetsk di sepanjang jalan berbeza dari arah sempadan Russia, lapor seorang saksi Reuters.



Satu konvoi termasuk sembilan kereta kebal dan satu kenderaan tempur infantri, manakala satu lagi konvosi terdiri daripada trak dan lori tangki bahan api, kata wartawan itu, yang berada di wilayah dua wilayah pemisah yang disokong Russia itu.



Ukraine telah mengisytiharkan darurat dan memberitahu rakyatnya di Russia supaya keluar dari negara itu, manakala Moscow telah mengosongkan kedutaannya di Kyiv. - Agensi berita.




URUTAN PERISTIWA



Berikut urutan peristiwa sejak Russia menghimpunkan askar di sempadannya dengan Ukraine November lalu hingga Presiden Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan semalam.



Pergerakan tentera



10 Nov 2021: Washington melaporkan pergerakan luar biasa tentera Russia dekat sempadan Ukraine.



28 Nov: Ukraine berkata Russia sedang mengumpulkan hampir 92,000 tentera bagi serangan pada akhir Januari atau awal Februari.



Tuntutan Moscow



7 Dis: Presiden Amerika, Encik Joe Biden, mengancam Encik Putin dengan "langkah ekonomi keras dan langkah lain" jika beliau menyerang Ukraine.



10 hari kemudian: Moscow mengemukakan cadangan membataskan pengaruh Amerika dan Nato ke atas negara bekas Soviet Union.



Himpunan tentera di Belarus



17 Jan 2022: Tentera Russia tiba di bekas negara Soviet, Belarus, bagi latihan tentera, yang menurut Moscow bertujuan "menggagalkan pencerobohan luar".



Nato bersiap sedia



24 Jan: Nato meletak tenteranya dalam tahap bersiap sedia dan menghantar kapal dan pesawat pejuang untuk memperkukuh pertahanan di kawasan timur Eropah.



26 Jan: Washington enggan menutup pintu keanggotaan Nato buat Ukraine dan pakatan itu berkata banyak tuntutan keselamatan Moscow adalah "tidak realistik".



28 Jan: Encik Putin berkata Barat mengabaikan "kebimbangan asas Russia" mengenai peluasan Nato dan mempunyai "sistem senjata menyerang berhampiran sempadan Russia".



Pergerakan di Belarus



2 Feb: Amerika menghantar 3,000 askar untuk memperkuat tentera Nato di timur Eropah.



10 Feb: Russia dan Belarus memulakan latihan tentera 10 hari.



Berundur atau pengukuhan?



15 Feb: Moscow berkata beberapa pasukannya pulang ke pangkalan, tetapi Nato tidak melihat tandanya dan Washington mendakwa Russia sebenarnya menghantar tentera tambahan.



Serangan akan berlaku



19 Feb: Ukraine berkata dua askarnya maut dalam serangan di barisan hadapan dengan pemisah yang disokong Russia. Russia "di ambang" menyerang Ukraine, kata Washington.



Putin iktiraf republik pemisah



22 Feb: Encik Putin mengiktiraf kemerdekaan wilayah pemisah Donetsk dan Luhansk di timur Ukraine. EU ikrar lakukan sekatan. Encik Putin mengarahkan tentera Russia ke kawasan pemisah dalam misi "memelihara keamanan".



Putin umum operasi ketenteraan



24 Feb: Encik Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine. Beliau menyeru askar Ukraine meletak senjata, mendakwa beliau bukan mahu menjajah Ukraine.



Letupan kedengaran di Kyiv dan bahagian lain di Ukraine. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >