Lima maut akibat taufan Florence di AS

WILMINGTON (Amerika Syarikat):   Taufan  Florence memukul   pantai Carolina dan bergerak ke pedalaman semalam (14 Sep), menumbangkan pokok, membuat air sungai melimpah, menurunkan hujan lebat dan  menyebabkan kematian lima orang sebelum kekuatannya direndahkan.

Seorang ibu dan bayinya maut dihempap  pokok yang tumbang ke dalam rumah mereka    di Wilmington, North Carolina. Bapa bayi itu cedera dan dikejarkan  ke hospital.

Di  Pender County, seorang wanita meninggal akibat serangan jantung, apabila  paramedik  yang  cuba datang untuk membantunya dihalang  oleh serpihan.

Dua orang terkorban   di Lenoir County. Seorang lelaki berusia 78 tahun maut disambar elektrik ketika  cuba   menyambung wayar tambahan,  manakala seorang lagi lelaki   mati  apabila  ditiup angin kencang ketika memeriksa anjing pemburuannya, kata jurucakap daerah.
 
“Kami tahu ini akan menjadi ribut besar, tetapi ia akan menjadi episod dahsyat,”   kata Gabenor North Carolina   Roy Cooper pada pada satu sidang akhbar di Raleigh.

Encik Cooper memetik ramalan Perkhidmatan Cuaca Nasional  yang menyatakan hampir keseluruhan negeri itu boleh ditenggelami air sedalam beberapa meter.

Florence  menjadi taufan Kategori 3 pada skala Saffir-Simpson, dengan tahap maksimum lima,  dengan angin 193  kilometer sejam kelmarin, tetapi berkurangan kepada    Kategori 1 sebelum ia tiba di darat.

Pusat Taufan Nasional (NHC) Amerika  menurunkan kekuatannya  kepada ribut tropika  petang semalam,  tetapi memberi amaran  ribut yang mengancam nyawa – yang menyebabkan gelombang air memukul darat – dan banjir masih dijangka. – Reuters.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
6:54
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:01
Isyak
8:09
3 HR PSI: 37
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.