TINISKT: Maghribi secara perlahan-lahan bangkit semula selepas dilanda gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang mengorbankan hampir 3,000 orang dan merosakkan kediaman lebih dua juta orang di wilayah pergunungan Atlas pada 2023.
Seorang penduduk, Encik Kebira Ait Bellaid, yang tinggal di khemah dalam kampung di pergunungan di Maghribi, dihantui kenangan pahit setelah kehilangan anak perempuan dan tiga cucunya dalam gempa tersebut.
“Saya masih boleh mendengar jeritan cucu saya yang berusia sembilan tahun di bawah runtuhan,” kata lelaki berusia 52 tahun itu sambil mengimbau gempa bumi pada 8 September 2023 yang memusnahkan kawasan tersebut.
“Gempa bumi ini telah mengubah saya selama-lamanya,” katanya.
Di Tiniskt, sebuah perkampungan yang terletak di pergunungan kira-kira 70 kilometer di barat daya Marrakesh, 45 orang kehilangan nyawa.
Daripada kira-kira 500 penduduk kampung yang tinggal, ramai yang masih berteduh di dalam khemah.
Cik Khadija Id Yassine, berkata beliau cuba melupakan kejadian gempa itu tetapi “ia tetap berlabuh” dalam fikirannya.
“Kehidupan kami sukar di dalam khemah, antara musim sejuk yang membeku dengan cuaca musim panas terik yang melemaskan,” kata ibu kepada tiga anak yang masih menunggu rumahnya dibina semula.
Meskipun kebanyakan puing runtuhan telah dibersihkan, namun kampung itu masih mempunyai tanda kemusnahan dengan hanya sebuah masjid dan tiga buah rumah yang dibina daripada konkrit, kekal utuh berdiri.
Kerajaan telah memberikan kepada kebanyakan keluarga di Tiniskt pembayaran awal sebanyak 20,000 dirham Maghribi ($2,600) untuk membina semula rumah mereka.
Wilayah Al Haouz, termasuk Tiniskt, adalah kawasan yang paling teruk terjejas, dengan kira-kira 24,000 rumah dijadual menjalani pembinaan semula – tetapi hanya sekitar 1,000 telah siap.
Menjelaskan punca kelewatan projek pembinaan semula rumah penduduk, Encik Amine Bouih, dari agensi pembinaan awam Al-Omrane berkata pihaknya masih sukar mengakses kawasan yang musnah di kawasan pergunungan.
Pemandu ambulans, Encik Brahim Ait Ouarah, berkata beliau membayar dari poketnya sendiri untuk membina semula rumahnya, dan hanya mendapat bantuan kerajaan kemudian. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg