KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat pengeluar kereta nasional Proton Holdings berkuatkuasa Rabu (30 Mac), di tengah-tengah ketegangan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dr Mahathir, 90 tahun, juga telah turun daripada jawatan sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas dan penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman, umum pejabatnya pada Khamis (31 Mac).
Proton Holding dalam satu kenyataan berkata ia menghormati hasrat beliau.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih dan mengiktiraf peranan Dr Mahathir sebagai pencipta syarikat kereta nasional ini," kata Proton.
Syarikat itu, yang dimiliki oleh DRB-Hicom, juga berkata Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai pengerusi Group Lotus, anak syarikat milik penuh Proton.
Dr Mahathir masih presiden kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana, institusi tidak cari untung yang menyebarkan maklumat mengenai mantan perdana menteri Malaysia.
Awal bulan lalu, Dr Mahathir dipecat sebagai penasihat syarikat tenaga milik negara Petronas selepas melancarkan "Deklarasi Rakyat" bersama pemimpin pembangkang untuk cuba menyingkir Datuk Seri Najib, atas alsan kepimpinan lemah dan salah laku dalam menguruskan syarikat dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).