KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, hari ini.
Dua lagi plaintif merupakan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Umno, Cik Anina Saadudin.
Kesemua mereka menamakan Datuk Seri Najib sebagai defendan menerusi saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini melalui peguam mereka, Tetuan Haniff Khatri.
Datuk Seri Najib adalah defendan tunggal dalam tuntutan itu.
Ketiga-tiga plaintif adalah sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri.
Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan perdana menteri Malaysia itu menyalahgunakan jawatan awam dan gagal melaksanakan tugas selain menyalahgunakan kedudukannya.
Menurut mereka, Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri, pengerusi gabungan parti-parti politik dalam perikatan Barisan Nasional dan selaku presiden Umno, dengan niat jahat telah menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan berhubung skandal pelaburan hartanah yang diuruskan oleh syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berjumlah RM42 bilion ($14.3 bilion), berserta kemasukan dana dalam anggaran RM2.6 bilion ($888 juta) ke dalam akaun peribadi banknya.
Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Datuk Seri Najib menyalahgunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Cik Anina dan Datuk Seri Khairuddin.
Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta. - mStar Online, Malaysiakini.com