Mahathir pertahan keputusan MACC siarkan rakaman audio Najib

PERDANA Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, telah mempertahankan keputusan Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia (MACC) menyiarkan rakaman audio mantan perdana menteri Najib Razak yang didakwa bersubahat dengan pegawai kanan negara tersebut untuk menutup skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Komen Dr Mahathir itu diberikan setelah timbul persoalan sama ada keputusan yang dilakukan ketua MACC untuk menyiarkan sembilan rakaman perbualan tersebut beretika atau tidak.

Rakaman itu disiarkan Rabu lalu (8 Jan) dan dipercayai termasuk perbualan antara Datuk Najib, isterinya, Rosmah Mansor, mantan ketua MACC Dzulkifli Ahmad dan mantan setiausaha swasta utama Datuk Najib, Shukry Mohd Salleh.

Najib menghadapi 42 kes rasuah berkaitan 1MDB, dan beliau telah mengaku tidak bersalah atas tuduhan-tuduhan itu.

Dr Mahathir berkata keputusan Ketua Pesuruhjaya MACC Latheefa Koya menyiarkan rakaman itu tiada beza dengan menunjukkan kepada orang awam barang peribadi yang dirampas dari premis yang dikaitkan dengan Datuk Najib pada 2018 berikutan serbuan polis yang berlaku tidak lama selepas kekalahan pilihan raya pada 9 Mei tahun itu.

"Sama sahaja, tiada beza...Kami tidak sembunyi dari orang awam sehingga ada perbicaraan," kata Dr Mahathir kepada agensi berita Bernama.

Sementara itu, MACC telah dikritik kerana dikatakan telah bertindak secara tidak profesional dengan menyiarkan rakaman-rakaman tersebut.

Malah, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meminta penjelasan lebih lanjut daripada Cik Latheefa sambil mengatakan isu itu telah menonjolkan kebimbangan privasi, lapor The Star.

"Saya rasa dia perlu menjelaskan lebih lanjut kerana ada kebimbangan mengenai privasi dan kerahsiaan dalam perbualan telefon antara suami dan isteri," katanya, merujuk kepada rakaman yang melibatkan Rosmah dan Datuk Najib.