Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mahkamah Jenayah Antarabangsa keluarkan waran tangkap untuk Putin

Mar 19, 2023 | 05:30 AM



AMSTERDAM: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkapan untuk Presiden Russia, Encik Vladimir Putin atas tuduhan melakukan jenayah peperangan iaitu pengusiran sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak dari Ukraine.



Tindakan undang-undang yang berani itu mewajibkan 123 negara yang menjadi anggota mahkamah itu untuk menangkap Encik Putin jika beliau memasuki negara masing-masing dan menyusuli itu, menghantarnya ke The Hague untuk menghadiri perbicaraan.



Moscow, yang telah berulang kali menafikan tuduhan tenteranya telah berlaku kejam di Ukraine sejak ia menyerang negara jiran itu, berkata keputusan mahkamah itu tidak sah dan tidak berkuasa.



Russia dan Ukraine, masing-masing bukan anggota ICC, walau Kyiv membenarkan ICC untuk mengambil tindakan ke atas jenayah yang dilakukan di Ukraine.



Mahkamah pengadilan itu tidak memiliki pasukan polis dan bergantung pada negara-negara yang menjadi anggotanya untuk menahan dan menghantar suspek menghadiri perbicaraan di The Hague.



Justeru, tindakan terkini ICC itu tidak dijangka boleh menyebabkan Encik Putin ditahan dalam masa terdekat, tetapi waran yang dikuatkuasakan itu bermakna Encik Putin boleh ditangkap dan dihantar ke The Hague jika beliau memasuki sebarang negara yang menjadi anggota ICC.



Jurucakap Kremlin, kerajaan Russia, Encik Dmitry Peskov, berkata Russia mendapati perkara yang ditimbulkan ICC 'keterlaluan' dan 'tidak boleh diterima'.



Ditanya sama ada Encik Putin kini gerun untuk pergi ke negara-negara anggota ICC, Encik Peskov berkata:



"Saya tidak mempunyai hujah lain mengenai perkara ini. Ini sahaja yang ingin kami katakan."



Encik Stepen Rapp, Duta Kelana Amerika Syarikat bagi Isu-Isu berhubung Jenayah Peperangan di bawah pemerintahan mantan presiden Amerika, Encik Barack Obama, berkata:



"Ini menjadikan Putin seorang pariah. Beliau boleh ditangkap apabila ke luar negara. Hakikat ini tidak boleh dihapuskan. Russia tidak boleh memohon bagi sekatan yang dikenakan ke atasnya tanpa mematuhi waran itu."



Encik Putin ialah presiden yang masih berkhidmat ketiga dikenakan waran tangkapan oleh ICC.



Sebelum ini, Omar al-Bashir dari Sudan dan Muammar Gaddafi dari Libya juga dikenakan waran yang serupa.



Dalam waran pertama berhubung perang di Ukraine, ICC berkata ia mahu Encik Putin ditangkap kerana mengesyaki beliau telah membenarkan pengusiran kanak-kanak dari Ukraine dan kanak-kanak itu dihantar ke Russia.



"Jenayah itu didakwa dilakukan di wilayan Ukraine yang dijajahi, bermula sekurang-kurangnya dari 24 Februari 2022.



"Ada bukti munasabah yang membuat kami yakin Encik Putin menanggung tanggungjawab secara individu atas jenayah itu," kata ICC dalam kenyataannya pada Sabtu.



Pendakwaraya utama di Ukraine, Encik Andriy Kostin, berkata langkah ICC itu adalah keputusan bersejarah bagi Ukraine dan keseluruhan sistem undang-undang antarabangsa.



Ketua dasar asing Kesatuan Eropah, Encik Josep Barrell berkata langkah itu adalah permulaan dalam usaha mempertanggungjawabkan Russia atas jenayah dan kekejaman yang dilakukan di Ukraine.



Dalam pada itu, beberapa pihak di Russia berkata mereka mengesyaki Amerika berperanan dalam keputusan ICC itu.



"Yankee, usah sentuh Putin," kata speaker parlimen, Encik Vyacheslav Volodin, seorang sekutu rapat Encik Putin.



"Kami menganggap sebarang serangan ke atas Presiden Russia sebagai tindakan agresif terhadap negara kami," kata beliau.



Pada Sabtu, ICC juga mengeluarkan waran tangkapan bagi Cik Maria Lvova-Belova, Pesuruhjaya bagi Hak Kanak-Kanak Russia, atas tuduhan yang sama.



Ukraine mendakwa lebih 16,000 kanak-kanak telah dipindahkan secara haram dari Ukraine ke Russia atau wilayah yang dijajahi Russia di Ukraine. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >