Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mahkamah tolak bantahan Najib agar hakim tarik diri

Jan 20, 2023 | 05:30 AM



MAHKAMAH Persekutuan semalam menolak bantahan awal Encik Najib Tun Razak supaya seorang hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada menjadi sebahagian panel yang mendengar semakan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.



Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersama tiga hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang hakim Mahkamah Rayuan sebulat menolak bantahan Encik Najib yang dikemukakan melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.



Dalam keputusan itu, Datuk Seri Abdul Rahman berkata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, dinamakan secara sah oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam komposisi panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan semakan oleh Encik Najib.



"Mahkamah tidak diyakinkan dengan hujahan peguam bahawa Hakim Datuk Abu Bakar harus menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.



"Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa budi bicara menamakan Hakim Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan bagi kepentingan keadilan mengikut Peruntukan 122 (2) Perlembagaan Persekutuan," katanya.



Turut bersidang adalah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, dan Datuk Nordin Hassan serta Datuk Abu Bakar.



Dalam bantahan itu Encik Najib memberi alasan mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964, komposisi Hakim Mahkamah Persekutuan mesti terdiri daripada semua Hakim Mahkamah Persekutuan.



Sebaik saja keputusan dibuat mahkamah memerintahkan Tan Sri Muhammad Shafee untuk memulakan hujahan permohonan agar sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International disemak.



Pada 23 Ogos tahun lepas, lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tun Tengku Maimun menolak rayuan Encik Najib atas sabitan satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pengubahan wang haram.



Bekas perdana menteri itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ($64 juta) oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan itu selepas menolak rayuannya.



Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, berhujah bahawa peruntukan Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan digunakan dengan betul dalam menamakan Datuk Abu Bakar dalam komposisi panel berkenaan.



Hujah Datuk Sithambaram tiada sebarang unsur niat jahat dalam penyenaraian hakim itu untuk mendengar kes berkenaan.



Justeru beliau memohon mahkamah untuk menolak bantahan awal terbabit dan meneruskan dengan mendengar permohonan semakan pemohon.



Bagaimanapun, Tan Sri Muhammad Shafee berkata terdapat tujuh lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang berkelayakan untuk mendengar permohonan semakan itu.



"Mengapa Ketua Hakim Negara tidak menamakan tujuh hakim ini. Ia adalah persoalan yang sangat serius," katanya.




"Mahkamah tidak diyakinkan dengan hujahan peguam bahawa Hakim Datuk Abu Bakar harus menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu."



- Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >