Majlis Keselamatan sebulat suara kecam pelancaran peluru berpandu Pyongyang

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Majlis Keselamatan PBB pada Isnin (13 Feb) mengecam pelancaran peluru berpandu Korea Utara hujung minggu lalu, dan menggesa negara anggota "menggandakan usaha" menguatkuasakan sekatan terhadap Pyongyang.

Tembakan peluru berpandu balistik Pyongyang Ahad (12 Feb) lalu adalah cabaran langsung pertama kepada masyarakat antarabangsa sejak Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengambil alih jawatan pada 20 Jan.

Pada satu sidang media pada Isnin, Encik Trump berkata: "Jelas bahawa Korea Utara adalah masalah sangat besar dan kita akan menanganinya dengan amat tegas."

Pegawai tentera Amerika, Jepun dan Korea Selatan mengadakan telepersidangan pada Isnin di mana mereka mengutuk pelancaran itu sebagai "pelanggaran jelas" pelbagai ketetapan Majlis Keselamatan.

Amerika "mengesahkan komitmen keselamatan kukuhnya" pada Korea Selatan dan Jepun, kata Pentagon.

Majlis Keselamatan tidak menyatakan apakah langkah yang mungkin diambil di luar rejim sekatan tajaan PBB yang dikenakan ke atas Korea Utara sejak 2006 disebabkan ujian peluru berpandu nuklear dan balistiknya.

"Anggota Majlis Keselamatan kesal akan semua kegiatan peluru berpandu balistik, termasuk pelancaran itu, Republik Korea Rakyat Demokratik," kata majlis tersebut dalam satu kenyataan yang turut merujuk kepada pelancaran peluru berpandu Korea Utara pada 19 Okt.

Kenyataan itu "menggesa semua negara anggota supaya melipatgandakan usaha mereka untuk melaksana sepenuhnya langkah-langkah yang dikenakan ke atas Republik Korea Rakyat Demokratik oleh Majlis Keselamatan."

Disember lalu, Majlis Keselamatan menerima satu ketetapan sebagai respons terhadap ujian nuklear Korea Utara pada September. Ketetapan itu bertujuan mengurangkan eksport arang batu dan logam lain Korea Utara, untuk mengenakan kos AS$800 juta ($1.14 bilion) setahun.

Sementara itu, peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Korea Utara pada Ahad mempunyai jangkauan lebih 2,000km, lapor Agensi Berita Yonhap Korea Selatan pada Selasa (14 Feb), dengan memetik agensi perisikan.

Ia mencapai ketinggian kira-kira 550km dan terbang kira-kira 500km ke arah Jepun sebelum memasuki laut di timur semenanjung Korea. - Reuters