MALAYSIA telah meluluskan sebuah lagi projek penambakan tanah di Selat Johor oleh sebuah lagi pemaju dari China.
Projek Princess Cove itu bakal melibatkan peluasan garis pesisir pantai Johor Bahru, hingga ia boleh berada lebih dekat dengan Singapura, lapor The Straits Times.
Projek tersebut berbeza daripada projek untuk memajukan empat pulau buatan manusia yang akan dibina dekat Laluan Kedua berhampiran Tuas.
Jabatan Sekitaran Malaysia (Doe) kelmarin telah memberi lampu hijau kepada projek Princess Cove itu, yang melibatkan pembinaan perumahan mewah bertingkat tinggi di atas sebidang tanah seluas 47.1 hektar.
Projek itu membabitkan kerja-kerja penambakan tanah di kededua tepi Koswe Johor Bahru seluas 31.7 hektar - kira-kira sebesar 45 padang bola sepak.
Pemajunya, Guangzhou R&F Properties, telah mendapatkan hak milik tanah pada November 2013.
Kerja-kerja pembinaan bermula April tahun lalu selepas mendapat kelulusan pemerintah Malaysia, tetapi dihentikan pada bulan Jun apabila DoE memutuskan satu penilaian sekitaran dan hidraulik dijalankan memandangkan ia berada dekat dengan sempadan Singapura.
Selain perumahan, Pincess Cove juga akan mempunyai hotel, pejabat, pusat beli-belah dan taman.