Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mangsa korban runtuhan jambatan di India kini lebihi 130 orang

Nov 01, 2022 | 05:30 AM



AHMEDABAD (India): Angka kematian akibat runtuhan jambatan gantung di India meningkat kepada 134 orang semalam dan pihak berkuasa bimbang jumlah itu akan bertambah.



Pihak berkuasa India telah membuka satu kes jenayah ke atas kejadian itu, yang merupakan antara kes yang paling buruk di India dalam tempoh 10 tahun lalu.



Jambatan pejalan kaki era kolonial itu merentasi Sungai Machhu di tengah bandar Morbi yang dipenuhi pengunjung menikmati perayaan percutian apabila ia runtuh pada petang kelmarin.



Kira-kira 400 orang telah membeli tiket ke jambatan itu untuk meraikan perayaan Diwali dan Chhath Puja. Runtuhan jambatan itu menyaksikan mangsa jatuh kira-kira 10 meter ke dalam sungai.



Jambatan sepanjang 233 meter itu dibina semasa pemerintahan kolonial British pada tahun 1877. Ia telah dibuka semula kurang seminggu lalu selepas menjalani kerja-kerja peningkatan selama enam bulan.



Rakaman video menunjukkan pekerja penyelamat menaiki bot mencari mayat di sungai.



"Angka kematian telah meningkat kepada 134. Operasi mencari dan menyelamat orang diteruskan," kata seorang pegawai kanan, Encik NK Muchhar, sambil menambah bahawa jumlah kematian mungkin akan meningkat.



Pemerintah India telah membentuk pasukan seramai lima orang untuk menyiasat bencana itu.



Seorang saksi yang mengenal pasti dirinya sebagai Raju memberitahu agensi berita ANI, rakan kongsi Reuters, bahawa beliau melihat orang ramai tergantung di jambatan tetapi mereka tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.



"Saya tidak tidur sepanjang malam kerana membantu operasi penyelamatan. Saya membawa ramai kanak-kanak ke hospital," katanya.



Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, yang juga merupakan mantan ketua menteri wilayah Gujarat, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.



"Dalam masa kesedihan ini, kerajaan akan menolong keluarga yang terjejas. Kerajaan Gujarat sedang menjalankan operasi bantuan dan menyelamat sejak semalam," katanya.



Anggota tentera bersama pengurusan bencana negara dan pasukan kecemasan dari daerah berhampiran dikerahkan untuk mencari mangsa dan membantu operasi, kata Muchhar.



Penyelam sedang mencari mayat di sungai yang keruh, ujar Encik Prasanna Kumar, pegawai kanan pasukan pengurusan bencana negara, memberitahu ANI.



"Satu-satunya cabaran adalah air berlumpur yang menyebabkan masalah penglihatan. Kami mengesyaki mungkin ada orang yang terperangkap di bawah jambatan," tambahnya.



Polis mendaftarkan kes jenayah terhadap orang-orang yang tidak dinamakan yang bertanggungjawab menjalankan pengubahsuaian, penyelenggaraan dan pengurusan jambatan itu.



Kumpulan Oreva, pembuat peralatan elektrik yang berpangkalan di Gujarat, bertanggungjawab sebagai penyelenggara jambatan tersebut



Encik Jayrajsinh Jadeja, ahli parlimen tempatan dari Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri Encik Modi, menyalahkan Oreva kerana menjual tiket tanpa sekatan dan berkata kesesakan yang berlebihan menyebabkan jambatan runtuh.



Jambatan itu sebelum ini disenggara oleh majlis perbandaran tempatan, yang mengehadkan bilangan orang di jambatan itu kepada 20 orang pada satu-satu masa, katanya. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >