MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, gembira dapat bertemu dan berbincang dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah pada Rabu malam (7 Julai).
Katanya dalam catatan Facebook pada Khamis:
"Saya menghargai usahanya meluangkan masa untuk kami bertemu walaupun saya cukup faham beliau sangat sibuk lebih-lebih lagi menjelang kemuncak Haji iaitu berwukuf di Arafah, esok.
"Pertemuan ini susulan pertemuan kami buat pertama kali di Arab Saudi pada Mac lalu.
"Banyak perkara dua hala yang kami bincangkan. Natijahnya, kami sepakat untuk berusaha membawa hubungan dua hala Singapura-Arab Saudi ke tahap yang lebih tinggi demi manfaat kedua-dua negara.
"Yang utama, bagi pihak Singapura, saya melahirkan penghargaan mendalam kita kepada beliau dan kementeriannya atas khidmat dan sokongan baik yang diberikan kepada jemaah haji kita khususnya dalam memberikan Singapura visa tambahan baru-baru ini dan begitu cepat memproses permohonan jemaah."
Encik Masagos juga mengucapkan terimakasih kepada Kementerian Kesihatan Arab Saudi atas pemberian permit bagi klinik-klinik Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) di Shisha, Makkah dan Madinah yang membolehkan pasukan perubatan merawat dan menjaga para jemaah Singapura.
"Di akhir perbincangan, kami mengalu-alukan pertemuan mendatang dan berdoa agar ibadah haji musim ini berjalan dengan lancar dan selamat, Insya-Allah," jelasnya.