Mayat kanak-kanak perempuan ditemui dalam keadaan menyayat hati di ladang kelapa sawit

PEKAN: Seorang kanak-kanak perempuan ditemui maut dalam keadaan tragis dengan kepalanya terpisah daripada badan, tangan dan kaki diikat serta beberapa organ dalaman tidak dijumpai, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, di sini, semalam (9 Feb).

Mayat Siti Masyitah Ibrahim, 11 tahun, yang dipercayai dibunuh, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 5 petang selepas mangsa dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu, lapor Berita Harian Online.

Menurut sumber polis, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan bagi membantu dalam siasatan kes kematian Siti Masyitah.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek, mengesahkan penemuan mayat itu namun memberitahu maklumat berhubung kematian mangsa akan dikeluarkan selepas proses bedah siasat selesai.

“Saya mengesahkan menerima maklumat kes itu. Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi pengesahan lanjut mengenai punca kematiannya. Tunggu laporan forensik dan bedah siasat selesai.

“Mayat itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna dipercayai sudah lama meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan dan akan menjalani proses bedah siasat, esok, untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.

Sementara itu, ibu mangsa, Cik Zaleha Abdullah, 35 tahun, berkata beliau bersama suami, Encik Ibrahim Ali, 39 tahun, bergegas ke lokasi kejadian sebaik saja dimaklumkan mengenai penemuan mayat anaknya.

“Luluh dan berkecai hati saya melihat keadaan anak saya seperti itu. Tangan dan kaki diikat, selain mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan kepala sudah terpisah daripada badan.

“Beberapa organ dalamannya juga tidak dijumpai. Ketika dia hilang sejak 11 hari lalu, kami sudah mencarinya di kawasan ini tetapi tidak jumpa,” katanya.

Cik Zaleha berkata, beliau mengenali mangsa adalah anaknya berdasarkan baju biru yang dipakai kanak-kanak itu sebelum dilaporkan hilang.

Menceritakan detik kehilangan mangsa, beliau berkata, anaknya itu meminta wang RM1 untuk ke kedai dan berjanji pulang segera, kira-kira jam 5 petang 30 Januari lalu, namun tidak lagi dijumpai selepas itu.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Pekan pada hari sama dan usaha mencarinya di sekitar kampung ini dilakukan penduduk, setiap hari.

“Sepanjang tempoh kehilangannya, saya sentiasa berdoa supaya Allah SWT menemukan saya dengannya dalam apa juga keadaan. Apabila saya melihat mayatnya, semalam, saya amat sedih.

“Mengapa tergamak melakukan perkara sebegini kejam terhadap anak saya, apa dosanya?” katanya sambil menyifatkan Siti Masyitah yang juga anak ketiga daripada empat beradik sebagai anak periang dan ceria.

Penduduk kampung, Encik Mohd Rosli Mat Rasat, 38, berkata beliau antara yang terawal tiba di lokasi kejadian sebaik dimaklumkan rakannya berhubung penemuan mayat Siti Masyitah.

Beliau berkata, anggota daripada Bahagian Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, tiba ke lokasi kejadian pada jam 8 malam sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut.

Waktu Solat

Subuh
5:59
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:37
Maghrib
7:22
Isyak
8:32
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.