Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

'Mbah' di Jawa ubah bukit gersang jadi menghijau selepas 24 tahun berusaha

Mar 29, 2021 | 05:30 AM



WONOGIRI (Indonesia): Pernah dianggap gila oleh penduduk sekampungnya tapi ekopejuang Indonesia, Encik Sadiman, telah mengubah bukit gersang menjadi hijau setelah 24 tahun berusaha.



Malah, usahanya juga telah mewujudkan sumber air di kawasan pergunungan yang kerap berlaku kemarau tempat beliau tinggal.



Sering dipanggil 'mbah' atau 'datuk', lelaki berusia 69 tahun itu bekerja tanpa henti untuk menanam pokok di kawasan bukit di tengah Jawa selepas kebakaran untuk membersihkan tanah bagi penanaman telah mengeringkan sungai dan tasik di kawasan keliling.



"Saya fikir, jika saya tidak menanam pokok beringin, kawasan ini akan menjadi kering. Daripada pengalaman saya, pokok beringin dan beberapa tumbuhan lain dapat menyimpan banyak air," kata Encik Sadiman, yang memakai topi renjer dan baju safari semasa ditemui.



Akar yang panjang dan lebar sekurang-kurangnya 11,000 pokok beringin dan jenis tumbuhan lain yang ditanam Encik Sadiman di kawasan lebih 250 hektar telah membantu mengekalkan air bawah tanah selain mencegah hakisan tanah.



Berkat usahanya, sumber mata air telah terbentuk di mana dulu terdapat tanah tandus dan gersang, dengan air daripadanya disalurkan ke rumah dan digunakan untuk mengairi ladang.



Namun, pada awalnya, hanya sedikit sahaja penduduk kampung yang menghargai usaha beliau.



"Orang mengejek saya kerana membawa biji pohon beringin ke kampung kerana mereka berasa tidak selesa kerana mereka percaya ada roh di pohon-pohon ini," tambah Encik Sadiman.



Malah, ada juga yang menganggap beliau sudah gila kerana menukar anak pokok bagi tukar ganti kambing yang dipeliharanya, kata Encik Warto, seorang penduduk kampung.



"Pada masa lalu orang fikir beliau sudah gila, tapi lihatlah hasilnya sekarang," tambah Encik Warto.



"Beliau dapat sediakan air bersih untuk memenuhi keperluan masyarakat di beberapa desa."



Encik Sadiman juga membiayai usahanya melalui penanaman anak pokok seperti cengkeh dan nangka yang dapat dijual atau ditukar.



Kekurangan hujan di kawasan beliau menanam pokok pernah membatasi petani kepada hanya satu tuaian setahun. Tetapi sekarang, sumber air yang banyak membolehkan dua atau tiga tuaian, katanya.



"Saya harap penduduk di sini dapat hidup sejahtera dan hidup bahagia.



"Dan janganlah membakar hutan berulang-ulang," rumus Encik Sadiman.



Sementara itu, Indonesia, dengan kawasan hutan hujan ketiga terbesar di dunia, telah dapat mengurangkan kadar penebangan hutan sebanyak 75 peratus tahun lalu dengan mengawal kebakaran hutan secara lebih berkesan dan membatasi pembukaan hutan, kata Kementerian Sekitaran dan Perhutanan negara itu.



Penebangan hutan pada tahun lalu dianggarkan sekitar 115,500 hektar, turun daripada sekitar 462,500 hektar pada 2019, kata pegawai kanan kementerian itu, Encik Ruandha Agung Sugardiman.



"Pelbagai usaha yang dilakukan kementerian ini telah membawa hasil yang besar," katanya, dengan memberi contoh dasar seperti moratorium penebangan hutan asli dan pengurusan kebakaran hutan yang lebih baik, termasuk pembenihan awan. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >