Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Menantikan hasil pertemuan khas Agong, raja-raja Melayu

Jun 16, 2021 | 05:30 AM



KECUALI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), ketua-ketua parti pembangkang dan Umno secara terbuka mahukan darurat ditamatkan dan Parlimen dibuka semula selepas majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.



Pendirian pembangkang gabungan parti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Amanah Negara atau Pakatan Harapan (PH) itu yang senada dengan parti Umno mencetus spekulasi baru kededua pihak akan menjalankan kerjasama longgar untuk membentuk kerajaan baru.



Pada masa yang sama, PH dan Umno dengan tegas menolak cadangan Pejuang yang diterajui oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyembah cadangan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran).



Bagi PH dan Umno yang sebelum ini musuh sepanjang zaman terutama DAP dan Umno, cadangan Dr Mahathir yang mengambil pendekatan kejayaan penubuhan Mageran pada 1969 yang diketuai Timbalan Perdana Menteri semasa itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein jauh berbeza dengan keadaan melawan penularan pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.



Pada minggu lalu, YDPA menerima mengadap ketua-ketua parti kerajaan dan pembangkang secara bersemuka di Istana Negara manakala pada Isnin lalu mengadakan persidangan video dengan empat ketua parti Gabung Rakyat Sarawak (GPS) di Wisma Bapa Malaysia.



Istana Negara kemudian mengeluarkan kenyataan YDPA akan menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan diadakan hari ini.



Sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara itu atas inisiatif YDPA berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.



Selepas saja pertemuan YDPA dengan ketua-ketua parti, kecuali Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang belum mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini, sudah jelas terdapat tiga pendirian berhubung pertemuan itu - PH dan Umno mahu Parlimen dibuka dan darurat ditamatkan; Dr Mahathir menjaja idea Mageran atau Majlis Pemulihan Negara yang belum mendapat sokongan terutama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang rapat dengan pemimpin Pejuang itu.



Datuk Mohd Shafie sebelum ini bersama tujuh Anggota Parlimen (AP) parti Warisan mengirim surat rayuan kepada YDPA meneliti semula keputusan baginda mengenai Proklamasi Darurat.



Sekiranya, Warisan menyokong Mageran sudah tentu bercanggah pendirian parti itu sebelum ini.



Pendirian ketiga sudah tentu dari kerajaan yang mahu status qou sekarang demi kelangsungan kerajaan rapuh yang tidak tahu jumlah sokongan AP disebabkan Parlimen 'tutup' sejak Januari lepas.



Kini, ramai ternanti-nanti apakah keputusan yang bakal yang diambil YDPA hasil perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu.



Mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, YDPA telah diberi kuasa menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam, oleh itu sebarang keputusan yang dibuat perlu berdasarkan kepada peruntukan itu.



Berdasarkan input daripada ketua-ketua parti pada pertemuan lalu, YDPA boleh menggunakannya sebagai rujukan tentang sentimen rakyat jelata untuk dibincangkan pada sesi perbincangan khas pada Rabu ini.



Berikutan itu, YDPA dan Raja-Raja Melayu perlu mengambil jalan tengah dalam membuat keputusan baginda yang memanfaat semua lapisan masyarakat.



Mungkin boleh dipertimbangkan Parlimen dibuka semula dan darurat tidak dilanjutkan bagi membolehkan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini.



Soal Mageran bukan jalan penyelesaian kepada keadaan genting yang dihadapi Malaysia semasa ini, malah Mageran dan darurat mempunyai kuasa hampir sama selain menutup ruang demokrasi terutama fungsi Parlimen.



Lagipun, cadangan dari Dr Mahathir itu tidak dapat meyakinkan rakyat jelata sebagai wadah kepada penyelesaian semua masalah yang dihadapi kini.



Begitu juga soal kerajaan baru yang kini hangat diperkatakan ramai, walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri mengakui beliau tidak menimbulkan soal penggantian pemerintah semasa mengadap YDPA minggu lalu.



Difahamkan PKR dan Umno sedang rancak berunding bagi mengadakan kerjasama, pada masa yang sama DAP agak kurang setuju dan berhati-hati dengan langkah tersebut yang boleh menghakis sokongan majoriti pengundi Cina yang agak curiga dengan Umno.



DAP lebih ke arah penggabungan semua parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan, Muda dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak berbanding Umno yang penuh dengan pimpin bermasalah.



Berikutan itu, bagi mengurangkan ketegangan politik selain terus melawan pandemik Covid-19, kerajaan sedia ada perlu dikekalkan sekurang-kurangnya hingga Februari 2022 selepas tamatnya program vaksinasi, selepas itu diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi memilih kerajaan baru.



Semalam pula, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi jaminan sidang Parlimen akan diadakan antara September dan Oktober ini dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.



Keputusan itu diambil selepas mengambil kira Malaysia pada ketika itu mencapai imuniti kelompok.



Pada tempoh itu Malaysia dijangka mencapai fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara apabila beberapa keadaan semasa di dalam negara, khususnya berkaitan pandemik Covid-19, menunjukkan perkembangan positif.



Dengan YDPA dijadualkan menemui Raja-Raja Melayu hari ini, menyusuli pengumuman Tan Sri Muhyiddin, adakah perkembangan ini merubah agenda pertemuan dengan pemimpin politik?




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >