JOHOR BARU - Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpaksa memanjat dan melompat pagar, untuk melarikan diri dari sekumpulan lelaki yang mengganggunya dalam satu majlis jamuan malam parti politiknya di Ulu Tiram, semalam.
Menulis di Instagramnya, beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata sekitar 200 lelaki yang berkelakuan seperti samseng telah mengeluarkan kata-kata kesat, mengugut dan mendesaknya agar memohon maaf kepada Tengku Mahkota Johor.
Syed Saddiq berkata selain ibu bapanya yang hadir, terdapat juga ramai wanita dan kanak-kanak dalam majlis itu, lantas membuatnya bimbang tentang keselamatan mereka, lapor Berita Harian Malaysia.
Majlis itu turut dihadiri ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor .
“Mereka semua berdiri keliling berpakaian hitam datang ke majlis kami. Gangster dan tidak hormat orang.
“Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat, ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini,” tulis Syed Saddiq.
Ketua polis Johor, Mohd Kamaruddin Md Din berkata satu kenyataan akan dikeluarkan tentang insiden itu, menurut laporan The Star. - Agensi berita